Ikuti Kami:

20 Tahun Dinanti! Faizal Tahir Panggil Mirwana Ke Pentas ‘Suara Rakyat’, Tiket Kini Berbaki 15%!

20 Tahun Dinanti! Faizal Tahir Panggil Mirwana Ke Pentas ‘Suara Rakyat’, Tiket Kini Berbaki 15%!

KUALA LUMPUR — Bahang konsert solo gergasi, Faizal Tahir: Suara Rakyat kini semakin dirasai apabila jualan tiket dilaporkan melonjak pantas dengan 85 peratus daripadanya sudah selamat dilicinkan peminat! Dengan masa yang makin mencemburui menjelang malam julung kali pada 3 Oktober 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil, kini hanya berbaki sekitar 15 peratus sahaja lagi tiket eksklusif buat pencinta muzik tanah air yang mahu menjadi saksi kepada sebuah persembahan berskala besar ini.

Konsert anjuran Faithful Music ini dibina khas bagi meraikan lebih dua dekad pengembaraan seni Faizal Tahir yang pernah membentuk landskap muzik tempatan menerusi karya-karya malar segar. Pentas Suara Rakyat dijanjikan sebagai sebuah pengembaraan visual dan auditori yang sarat dengan cerita, membariskan susunan muzik ikonik seperti Gemuruh hingga ke lagu kebangkitan terbaharu, Ini Suara Kita. Tidak cukup dengan itu, kehangatan konsert turut digandakan dengan kemunculan semula kumpulan nasyid legend, Mirwana, yang bakal bersatu semula bersama Faizal selepas 20 tahun membina haluan masing-masing.


Foto Kumpulan MIRWANA turut membuat persembahan bersama Faizal Tahir pada malam konsert Suara Rakyat.

Tidak sekadar mengumumkan tetamu khas yang bakal menyemarakkan Suara Rakyat, beberapa informasi terkini turut disampaikan. Bendang Group diumumkan sebagai Rakan F&B rasmi serta pengenalan koleksi merchandise rasmi Suara Rakyat. Koleksi tersebut merangkumi T-shirt, jersey, keffiyeh, insulated drink bottle, lanyard & card serta photocards yang bukan sekadar barangan konsert, sebaliknya menjadi kenang-kenangan buat peminat yang mahu menyimpan sebahagian daripada perjalanan dan identiti Suara Rakyat.

Melihat kepada momentum luar biasa dan baki tiket yang semakin kritikal, Faizal Tahir mengakui rasa terharu dengan sokongan padu yang ditunjukkan oleh para peminat.

“Saya berasa terharu apabila mendapat tahu 85 peratus tiket terjual, tetapi dalam masa yang sama ia membuat saya dan seluruh pasukan lagi bersemangat untuk bagi yang terbaik pada malam itu,” kata Faizal Tahir meluahkan rasa syukurnya.

Kini berada dalam fasa latihan yang amat ketat, penyanyi berkarisma ini bersama seluruh warga produksi giat memperhalusi setiap inci aspek konsert daripada keperincian susunan muzik, kawalan vokal, stamina, hingga ke tata cahaya dan visual. Faizal menegaskan bahawa Suara Rakyat bukan sekadar persembahan mengimbau kenangan (greatest hits), sebaliknya sebuah medan perpaduan emosi antara beliau dan peminat.

“Sekarang memang sudah masuk fasa yang sangat intense. Lagi dekat dengan 3 Oktober, lagi banyak perkara yang kami perincikan terutama daripada susunan lagu, muzik, visual, stamina, latihan sampailah kepada bagaimana setiap bahagian dalam konsert ini boleh bercerita dengan baik,” ulas beliau.

“Saya tidak mahu ia jadi sekadar malam kita datang, nyanyi lagu-lagu lama dan balik. Saya mahu orang yang hadir rasa mereka sebahagian daripada perjalanan ini sebab lagu-lagu ini pun membesar bersama mereka,” tambah Faizal sambil membayangkan pelbagai lagi kejutan yang masih disimpan rapat untuk malam konsert nanti.


Foto Penganjur, Pengurus Besar Faithful Music, Encik Karim Radza bersama wakil jenama Bendang KL yang diumumkan menjadi rakan F&B Konsert Suara Rakyat

Bagi peminat yang tidak mahu kempunan menyaksikan pertembungan nostalgia Faizal Tahir bersama Mirwana serta malam penuh bertenaga ini, baki 15% tiket bernilai RM98 hingga RM688 boleh didapati segera menerusi www.hitmanlive.com dan ticket2u.com.

Loading...