Platform Digital VYBE Perluas Pengaruh Ekonomi Kreatif, Dilancar Rasmi 16 September Ini
- oleh Editor MYBUZZ
- 2 Sep 2026 4:57 pm
KUALA LUMPUR: Platform digital tempatan, VYBE kini bersedia meluaskan pengaruhnya dalam ekosistem ekonomi kreatif negara menerusi penyediaan pentas baharu yang direka khas untuk mengangkat karya serta bakat pencipta kandungan tempatan ke peringkat antarabangsa.
Langkah strategik ini dimulakan menerusi pelantikannya sebagai Rakan Platform Digital Rasmi bagi kempen patriotik ‘Kita Warga Malaysia’, sekali gus menjadi medan permulaan sebelum aplikasi berkenaan dilancarkan secara rasmi pada 16 September 2026 bersempena sambutan Hari Malaysia.
Integrasi Teknologi AI dan Ekonomi Pencipta
Diasaskan oleh penteraju industri AI MCN tempatan, Dr Kervis, VYBE dibangunkan di bawah bumbung Zocco Group Sdn. Bhd. untuk merapatkan jurang antara pencipta kandungan, penggiat seni, jenama dan masyarakat.
Platform ini mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) bersama penstriman langsung dan ekosistem Multi-Channel Network (MCN) bagi memberikan nilai tambah serta peluang pasaran baharu kepada penggiat media digital.
Dr. Kervis menjelaskan bahawa pemerkasaan teknologi digital haruslah memberi manfaat nyata kepada komuniti dengan membolehkan penceritaan dan identiti tempatan bersaing di pasaran global. Menurut beliau, langkah VYBE ini bukan sekadar memperkasakan industri hiburan digital, malah memastikan generasi baharu mempunyai ruang, peluang dan keyakinan untuk membina kerjaya dalam ekonomi kreatif.

VYBE sasar perkasa ekonomi pencipta kandungan, aplikasi rasmi dilancar pada Hari Malaysia 2026. – Pengasas VYBE, Dr Kervis
Pemacu Kepimpinan VYBE
Dr Kervis, dikenali sebagai antara pelopor yang menerajui integrasi teknologi Artificial Intelligence (AI), Multi-Channel Network (MCN) serta penstriman langsung dalam industri digital negara. Kepakaran beliau dalam menggabungkan teknologi terkini dengan ekosistem pencipta kandungan telah membuka peluang baharu kepada pembangunan industri kandungan digital yang lebih inovatif dan berdaya saing.
Platform ini akan memberi tumpuan kepada pembangunan drama pendek, penstriman langsung, penceritaan digital serta integrasi jenama bersama pencipta kandungan. Melalui gabungan teknologi, kreativiti dan strategi pemasaran digital, VYBE berhasrat menjadi hab kandungan digital generasi baharu yang menghubungkan pencipta, penonton dan jenama dalam satu ekosistem yang lebih dinamik dan interaktif.
“Saya amat berbesar hati kerana VYBE dapat turut serta dalam inisiatif ‘Kita Warga Malaysia’. Sebagai seorang yang aktif mempromosikan pembangunan AI MCN, saya percaya bahawa teknologi hanya benar-benar bernilai apabila ia mampu memperkasakan manusia, membuka peluang dan membawa manfaat kepada masyarakat,”jelas Dr. Kervis.
Turut memainkan peranan penting dalam pembangunan platform ini ialah Pengerusi VYBE, Datuk Kamil Othman, seorang tokoh veteran industri kreatif yang mempunyai pengalaman luas dalam sektor media dan kandungan digital. Beliau pernah menyandang jawatan sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) serta Naib Presiden Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), selain terlibat secara aktif dalam memperkasa industri kreatif tempatan di peringkat nasional dan antarabangsa.
Gabungan Penceritaan dan Pemodelan Perniagaan Baharu
Datuk Kamil Othman menegaskan bahawa keupayaan media digital dan penceritaan kreatif dalam melangkaui batas geografi serta kaum menjadi kelebihan utama platform ini untuk memacu nilai komersial berasaskan identiti kebangsaan.
Menerusi inisiatif pelancaran lagu “Kita Warga Malaysia”, VYBE memanfaatkan kapasiti digitalnya untuk memastikan kandungan tempatan bukan sahaja menarik perhatian khalayak ramai, malah mampu mencetuskan nilai ekonomi dan diwarisi oleh generasi akan datang.
“Muzik dan penceritaan mempunyai keupayaan untuk merentasi batas generasi dan memperkasakan, kaum dan geografi. ‘Kita Warga Malaysia’ bukan sekadar sebuah lagu patriotik, malah mencerminkan identiti bersama kita sebagai rakyat Malaysia.
“Walau apa pun latar belakang kita, negara ini ialah rumah kita dan masa depannya merupakan tanggungjawab bersama,” katanya.
VYBE dijadualkan dilancarkan secara rasmi pada 16 September 2026, bersempena sambutan Hari Malaysia, sebagai simbolik kepada aspirasi platform tersebut untuk memperkukuh ekosistem kreatif digital tempatan serta membuka peluang baharu kepada pencipta kandungan di seluruh negara.
