Ikuti Kami:

Revolusi Digital Sektor Kecergasan: Inisiatif Nadi Sasar Suntik Teknologi Kepada 1,000 Peniaga Selangor

Revolusi Digital Sektor Kecergasan: Inisiatif Nadi Sasar Suntik Teknologi Kepada 1,000 Peniaga Selangor

Foto dari kiri Ketua Pegawai Eksekutif Katch International, Lee Cheng Yun dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di majlis sidang media pelancaran NADI by Katch semalam.

PETALING JAYA — Sektor kesihatan, kecergasan, dan sukan di Selangor bakal melangkah ke era baharu menerusi pelancaran inisiatif perintis bertajuk NADI: Connecting Wellness, Fitness & Sports. Gerakan strategik anjuran syarikat teknologi tempatan, Katch International Sdn Bhd, ini menyasarkan pendigitalan secara menyeluruh ke atas 1,000 premis dan pengusaha perniagaan berkaitan di seluruh negeri menjelang tahun 2027.

Langkah ini dilihat sebagai penyelesaian tuntas kepada isu pengurusan tradisional yang kerap dihadapi oleh pengusaha industri riadah awam, di mana sebilangan besar operasi tempatan masih bergantung pada kaedah manual seperti pengurusan menerusi aplikasi mesej WhatsApp dan catatan buku nota. Pembaharuan infrastruktur digital ini direka bagi memudahkan pengurusan tempahan, keahlian, pakej latihan, serta proses pembayaran secara digital.

Inisiatif ini mencatatkan sejarah tersendiri apabila menerima sokongan penuh daripada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. Baginda berkenan berangkat hadir ke majlis pelancaran sulung yang menghimpunkan 50 pemilik perniagaan pelbagai latar belakang sukan dan kecergasan di Hyprground Pickleball, Seksyen 19.

Keberangkatan Baginda turut diiringi sesi dialog eksklusif bersama para pelaku industri bagi membedah hala tuju serta potensi ekonomi berasaskan gaya hidup sihat di negeri Selangor. Usaha ini memperlihatkan komitmen berterusan pihak istana dan industri dalam mewujudkan jaringan integrasi yang lebih kukuh antara pengusaha.


Foto DYTM Raja Muda Selangor turut berkenan melawat reruai yang disediakan oleh pihak penganjur.

“Kebanyakan pengusaha dalam industri ini masih bergantung kepada WhatsApp dan buku nota. Melengkapkan mereka dengan alat digital yang sewajarnya bukanlah soal teknologi semata-mata, ia soal seorang penduduk Selangor dapat mencari kelas, gelanggang atau klinik hanya dengan beberapa sentuhan skrin,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Katch International, Lee Cheng Yun.

Membawa maksud ‘denyutan nadi’, gerakan NADI bermatlamat merapatkan jurang antara tiga sektor utama—kesihatan (wellness), kecergasan (fitness), dan sukan (sports) yang sebelum ini bergerak secara berasingan dalam komuniti masing-masing. Menerusi ekosistem bersepadu ini, pengusaha bukan sahaja mendapat akses kepada aplikasi pengurusan, malah berpeluang bertukar ilmu serta meneroka potensi kerjasama rentas sektor.

Penganjur bersama NADI, Nicholas Lai Joon Lim menyatakan bahawa perhimpunan julung kali ini merupakan langkah awal bagi melebarkan siri program rangkaian ini ke setiap daerah di Selangor.

Selain membina jaringan perniagaan, majlis pelancaran ini turut diseri dengan siri kelas induk pembiayaan perniagaan berasaskan equity crowdfunding anjuran pitchIN serta panduan penskalaan perniagaan oleh Anytime Fitness. Dengan jaringan teknologi Katch yang kini berkhidmat untuk lebih 34,000 pengguna berdaftar, inisiatif NADI dijangka menjadi pemangkin utama dalam menjadikan Selangor sebagai negeri perintis gaya hidup aktif dan digital di Malaysia.

Loading...