Ikuti Kami:

Laluan Sutera Uzbekistan Jadi Saksi Karya Agung ‘Salawat The Beloved’: Hafiz Hamidun Wajah Nafas Baharu Muzik Devosional

Laluan Sutera Uzbekistan Jadi Saksi Karya Agung ‘Salawat The Beloved’: Hafiz Hamidun Wajah Nafas Baharu Muzik Devosional

Foto 2 dari kiri Hafiz Hamidun dan Pengarah Urusan Sony Music Malaysia merangkap Singapura, Vietnam & Projek Khas Asia Tenggara, Kenny Ong. Mereka diapit kiri dan kanan oleh Pegawai Pejabat Kedutaan Uzbekistan di Malaysia yang hadir bersama bagi meraikan majlis pelancaran album Salawat The Beloved.

KUALA LUMPUR – Memasuki fasa suku abad bertapak dalam industri muzik tanah air, perjalanan 25 tahun kerjaya Hafiz Hamidun kini dizahirkan menerusi sebuah kembara spiritual yang penuh nilai kesenian. Figura nasyid dan komposer tersohor ini menyambut pencapaian jubli peraknya menerusi pelancaran album terbaharu, ‘Salawat The Beloved’, sebuah mahakarya segar yang menyatukan kecintaan mendalam terhadap Rasulullah SAW bersama produksi kontemporari berskala antarabangsa.

Diterbitkan di bawah naungan label terkemuka Sony Music Malaysia, album ini bukan sekadar sebuah himpunan lagu rutin, malah ia dirancang khas sebagai ekspresi emosi dan kembara rohani yang membawa tradisi keagamaan melangkaui sempadan kebiasaan.

“Selepas melalui pelbagai fasa dalam kerjaya, saya mahu menghasilkan sebuah karya yang kembali kepada sesuatu yang sangat dekat dengan jiwa saya iaitu selawat dan kecintaan kepada Rasulullah SAW,” kata Hafiz membuka bicara.

Mengulas lanjut, Hafiz menekankan bahawa antara keistimewaan utama album terbaharunya ini adalah bagaimana selawat-selawat yang lazim diamalkan oleh orang ramai diberikan nafas baharu yang jauh lebih segar dan sinematik.

“Selawat-selawat dalam album ini kebanyakannya yang sudah kita kenal dan amalkan sejak sekian lama. Ia diberikan nafas baharu menerusi susunan muzik yang lebih cinematic, kontemporari dan berskala besar, tetapi masih mengekalkan roh serta keindahan asalnya. Saya mahu orang mendengarnya bukan sebagai sebuah album, tetapi sebagai satu perjalanan spiritual dan emosi,” jelas beliau.

“Konsep muzik album ini adalah cinematic devotional music. Saya mahu mengekalkan melodi dan identiti selawat yang sudah dikenali, tetapi membawanya ke dalam soundscape yang lebih luas, dengan elemen orkestra, ambient, world music, percussion dan sentuhan kontemporari,” tambah Hafiz lagi.

“Album ini menghimpunkan beberapa bentuk selawat dan karya pujian kepada Rasulullah SAW yang sudah dekat dengan masyarakat kita antaranya Ishfa’ Lana, Salawat Badriyah, Nuril Anwar, Salawat Syifa, Salawat Adnani, Salawat Jibril, Salawat Tafrijiyyah, Salawat Asyghill dan Ya Nabi Salam Alaik. Turut dimuatkan adalah Cinta Rasul. Walaupun setiap lagu mempunyai karakter muzik yang berbeza, benang merahnya tetap sama iaitu rasa cinta, kerinduan dan penghormatan kepada Rasulullah SAW,” katanya.

Pembikinan keseluruhan album Salawat The Beloved mengambil masa lebih kurang setahun yang melibatkan proses teliti daripada pemilihan lagu, susunan muzik, rakaman, produksi audio sehinggalah kepada konsep visual dan penggambaran.

“Saya memang mengambil masa kerana saya tidak mahu menghasilkan album selawat sekadar untuk memenuhi jadual penerbitan. Setiap lagu perlu mempunyai identiti dan mood tersendiri, tetapi apabila digabungkan, semuanya masih terasa seperti berada dalam satu dunia yang sama, dunia Salawat The Beloved,” katanya lagi.

Bagi menyempurnakan aspek visual, Hafiz memilih negara Uzbekistan sebagai antara lokasi utama penggambaran video muzik kerana hubungan sejarah dan tamadun Islam yang sangat kuat di kota-kota agung seperti Samarkand dan Bukhara.

“Saya memilih Uzbekistan kerana negara itu mempunyai hubungan yang sangat kuat dengan sejarah dan tamadun Islam. Samarkand dan Bukhara khususnya merupakan antara pusat ilmu yang sangat penting dalam sejarah dunia Islam. Nama-nama besar seperti Imam al-Bukhari juga mempunyai hubungkait di sana. Pada masa sama, dari sudut visual pula, Uzbekistan mempunyai seni bina, warna, tekstur dan landskap yang sangat unik. Apabila kita melihat Registan di Samarkand, seni bina madrasah, kota lama Bukhara ataupun kawasan pergunungan, semuanya mempunyai karakter yang sangat kuat. Jadi saya rasa ia sangat sesuai dengan konsep album ini. Kita membawa karya yang berakar daripada tradisi Islam, tetapi dipersembahkan melalui visual yang cinematic dan bersifat antarabangsa,” ujar Hafiz.

Projek ini turut mendapat sokongan padu daripada Uzbekistan Tourism Committee yang melihat muzik dan visual sebagai medium diplomasi budaya untuk memperkenalkan keindahan serta sejarah Uzbekistan kepada khalayak global. Selain Uzbekistan, penggambaran video muzik turut dijalankan di Istanbul, Turki dan Al-Ula, Arab Saudi untuk lagu Ishfa’ Lana dan Salawat Badriyah, diserikan dengan rekaan busana eksklusif koleksi Teman oleh Siti Khadijah.

“Harapan saya sebenarnya sederhana. Saya mahu album ini menjadi sebuah karya yang orang boleh dengar berkali-kali, bukan hanya ketika ia dilancarkan. Kalau lagu-lagu dalam album ini boleh menemani seseorang ketika memandu, berada di rumah, ketika mencari ketenangan, atau membuatkan seseorang kembali berselawat dan mengingati Rasulullah SAW, bagi saya itu sudah menjadi satu pencapaian yang sangat besar. Pada masa sama, saya berharap Salawat The Beloved boleh membawa muzik Islamik dari Malaysia kepada audiens yang lebih luas di peringkat antarabangsa. Selepas 25 tahun dalam industri, saya melihat album ini bukan sekadar satu lagi album dalam katalog saya, tetapi sebagai sebuah karya yang merangkum perjalanan, kecintaan dan legasi yang saya mahu tinggalkan melalui muzik,” luah Hafiz.

Sementara itu, Pengarah Urusan Sony Music Malaysia merangkap Singapura, Vietnam & Projek Khas Asia Tenggara, Kenny Ong, meluahkan rasa bangga kerana Sony Music menjadi sebahagian daripada bab penting dalam lipatan sejarah 25 tahun perjalanan seni Hafiz Hamidun.

“Salawat The Beloved merupakan sebuah projek yang sangat bermakna, bukan sahaja buat Hafiz, tetapi juga buat kami di Sony Music. Selepas 25 tahun dalam industri, Hafiz terus mencari pendekatan baharu untuk berkembang sambil kekal setia kepada muzik dan nilai-nilai yang dekat dengan dirinya. Apa yang menjadikan album ini istimewa ialah bagaimana beliau memberikan nafas baharu dan sentuhan kontemporari kepada selawat yang sudah begitu dikenali, tanpa menghilangkan esensi asalnya. Kami berharap album ini dapat mendekatkan hati para pendengar daripada pelbagai generasi, dan pada masa yang sama memperkenalkan muzik Islamik Malaysia kepada khalayak yang lebih luas di luar Malaysia. Kami berbangga dapat menjadi sebahagian daripada lembaran penting dalam perjalanan seni Hafiz dan berharap Salawat The Beloved akan menjadi sebuah album yang terus dihargai oleh para pendengar untuk tahun-tahun mendatang,” kata Kenny Ong.

Album Salawat The Beloved yang dilancarkan secara rasmi sejak 21 Ogos 2026 kini boleh distrim dan dimuat turun di semua platform digital, menampilkan 10 buah trek iaitu Ishfa’ Lana, Salawat Badriyah, Cinta Rasul, Nuril Anwar, Salawat Syifa, Salawat Adnani, Salawat Jibril, Salawat Tafrijiyyah, Salawat Asyghil, serta Ya Nabi Salam Alaik.

Loading...