Dari Suara VTT Ke Kerusi Pengurus: Misi AG9 Official Melahirkan Empayar ‘Content Creator’ Profesional
- oleh Editor MYBUZZ
- 20 Aug 2026 11:56 pm
KUALA LUMPUR — Dunia penstriman dan media sosial tempatan kini menyaksikan pusingan fasa baharu apabila pempengaruh serta hos TikTok LIVE terkemuka, Muhamad Shahrul Nizam, yang mesra dikenali sebagai AG9 Official atau Ejinn Official — kini menggalas tanggungjawab sebagai pengurus bakat (talent manager) bagi projek KamiSempoi Premier Academy di bawah naungan KamiSempoi International Agency (KSIA).
Perjalanan anak jati Pulau Pinang ini bermula sewaktu kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020. Ketika perniagaan katering keluarganya terpaksa ditutup akibat pandemik, beliau nekad bertukar arah meneroka potensi ekonomi digital menerusi platform TikTok. Bermula sebagai seorang LIVE host, beliau kemudiannya membina identiti jenama AG9 Official pada tahun 2021 dan konsisten menghasilkan kandungan bercorak motivasi, deep talk, nasihat serta pengalaman hidup yang rapat dengan jiwa masyarakat.

“Masa MCO kafe terpaksa tutup, jadi saya duduk di rumah kaji macam mana TikTok boleh bagi pendapatan. Orang lain mungkin nampak TikTok untuk ‘gelek-gelek’, tapi saya nampak peluang cari duit menerusi penstriman langsung dan branding,” katanya.
Impak garapan bait-bait kata motivasi, intonasi serta mimik mukanya yang padu menjadikan petikan suara (sound/template) VTT AG9 kerap diguna pakai oleh netizen menerusi TikTok dan CapCut sebagai latar video perjuangan hidup mereka. Malah, babak kandungannya pernah dipetik dan disiarkan oleh program televisyen utama seperti Wanita Hari Ini. Hari ini, akaun @ag9official berjaya mengumpul lebih 736.3 ribu pengikut serta 10.4 juta tanda suka di TikTok, selain diiktiraf sebagai Top 1 Rising Star TikTok dan menjadi antara lima hos terawal di Malaysia yang diberi akses penstriman terus menggunakan komputer (stream key) oleh pihak TikTok Malaysia.
“Niche saya memang nak sentuh hati audiens dan menjadi suara bagi mereka yang takut atau tidak mampu menyampaikan apa yang dirasai. Saya tak nak sekadar buat kandungan yang orang tengok kemudian scroll. Kalau ada satu ayat daripada kandungan saya yang boleh buat seseorang berfikir, bangkit semula atau rasa dirinya masih bernilai, bagi saya itu sudah cukup bermakna,” ulasnya.
Namun, selepas melalui liku-liku industri termasuk pernah mencatatkan pendapatan penstriman mencecah USD 5,000 (sekitar RM22,000) sebulan, menghadapi amaran akaun (permanent warning), hingga rutin ketat bersiaran langsung tiga kali sehari. AG9 kini memilih untuk mengalih fokus utamanya. Sejak memulakan langkah pengurusan bakat menerusi Bros Klen pada akhir 2024, beliau kini bersedia menggunakan segala pengalamannya untuk membimbing generasi pencipta kandungan baharu di KamiSempoi Premier Academy secara lebih bersistematik dan bertauliah.
Fokus utamanya sebagai pengurus bakat adalah menaik taraf standard creator tempatan daripada sekadar penghasil kandungan santai kepada hos penstriman profesional. Menerusi kolaborasi strategik bersama MK Studio, latihan yang disediakan merangkumi aspek teknikal penstriman PC, pembangunan kandungan, personal branding, persembahan diri, hingga kepada kawalan disiplin dan etika kerja.
“Saya sendiri bermula dari bawah sebagai LIVE host pada tahun 2020, pernah kena warning akaun, dan faham rasanya belajar sendiri tanpa arah. Sebab itu sekarang saya mahu fokus bimbing pencipta baharu dari kosong, daripada disiplin live, personal branding, sehinggalah teknikal penstriman menggunakan PC. Ada pencipta di bawah bimbingan saya yang daripada tidak pandai bercakap, kini berjaya graduate tidak sampai sebulan hasil mematuhi silibus dan konsisten,” jelas beliau yang meluahkan rasa bangga dapat melahirkan ramai pelapis berpotensi.
Sebagai seorang yang turut menyifatkan dirinya sebagai introvert yang pernah bersiaran menggunakan topeng pada peringkat awal, AG9 menegaskan bahawa platform penstriman digital sebenarnya merupakan medan terbaik untuk membina keyakinan diri.
“Saya sendiri dulunya introvert sampai kena pakai topeng masa mula-mula live. Pesanan saya, jangan takut untuk bermula. Kalau nak hilangkan introvert, come to live streaming. Namun bagi adik-adik yang baru lepas sekolah, ingatlah bahawa akademik dan pelajaran tetap nombor satu kerana bidang ini memerlukan ilmu dan komitmen tinggi. Lagipun, bagi saya kejayaan sebenar bukanlah apabila kita seorang sahaja yang berjaya, tetapi apabila kita mampu membawa orang lain naik bersama-sama,” akhiri beliau.
