Hanya Satu Malam! Reality Club Bawa Perayaan 10 Tahun Ke Kuala Lumpur
- oleh Editor MYBUZZ
- 19 Aug 2026 4:54 pm
KUALA LUMPUR – Kumpulan indie popular dari Indonesia, Reality Club bakal menggegarkan pentas Zepp Kuala Lumpur menerusi konsert “(10) years of Reality Club Live in KL” pada 13 November 2026 bagi meraikan ulang tahun ke-10 penglibatan mereka dalam persada muzik.
Penganjuran konsert istimewa yang dibawakan khas oleh penganjur POST bersama Katarsis Live ini bakal menyaksikan empat anggota asal dari Jakarta itu beraksi secara langsung dalam persembahan eksklusif untuk satu malam sahaja.

Reality Club raikan 10 Tahun perjalanan muzik menerusi konsert istimewa di Zepp KL.
Bawa Katalog ‘Hit’ Bersama Susunan Muzik Baharu
Sepanjang sedekad mewarnai landskap muzik indie Asia Tenggara, Reality Club telah menghasilkan pelbagai lagu yang dekat dengan jiwa pendengar menerusi tema cinta, kerinduan, dan alam kedewasaan. Antara karya fenomena yang melonjakkan nama mereka termasuklah Is It The Answer? dan Alexandra.
Pengaruh mereka diiktiraf menerusi album studio ketiga, Reality Club Presents… yang memenangi kategori Album Alternatif Terbaik di Anugerah Musik Indonesia, manakala trek Love Epiphany meraih anugerah Duo/Kumpulan/Kolaborasi Alternatif Terbaik.
Kematangan penulisan lagu mereka diteruskan menerusi album keempat, Who Knows Where Life Will Take You? yang menerima pujian meluas atas penceritaan emosionalnya.

Reality Club janji pengalaman konsert paling istimewa buat peminat Malaysia.
Momentum Hebat Selepas Konsert ‘Sold Out’ Jakarta
Langkah membawakan siri jelajah ini ke Kuala Lumpur didorong oleh momentum cemerlang Reality Club, termasuk kejayaan mengadakan konsert ulang tahun yang habis terjual di Jakarta pada Jun tahun lalu serta penyertaan mereka di bawah naungan label terkemuka Indonesia, Suneater.
Berbeza daripada konsert biasa, persembahan di Zepp Kuala Lumpur ini dirangka secara eksklusif dengan susunan semula lagu-lagu popular mereka bagi menghadirkan pengalaman audio dan visual yang segar serta berbeza buat para peminat tempatan.

Penonton bukan sahaja berpeluang menikmati karya-karya kegemaran dalam nafas baharu, malah dapat merasai suasana persembahan yang lebih intim dan istimewa.
Konsert ini akan berlangsung pada Jumaat, 13 November 2026, bermula jam 8.00 malam di Zepp Kuala Lumpur. Tiket pra-jualan akan dibuka pada 31 Ogos 2026, manakala jualan umum bermula pada 2 September 2026.
Peminat yang ingin mendapatkan tiket boleh membuat pembelian menerusi platform rasmi di www.ticketmelon.com. Dengan konsep persembahan yang unik dan pengalaman yang dijanjikan, peminat disarankan untuk mendapatkan tiket lebih awal bagi mengelakkan kekecewaan.
