Belum Rezeki Gegar Zepp KL! Konsert Kelate KL 2026 Terpaksa Ditangguh
- oleh Editor MYBUZZ
- 17 Aug 2026 7:29 pm
KUALA LUMPUR: Hasrat peminat untuk melihat elemen kebudayaan dan seni negeri Cik Siti Wan Kembang menggegar pentas berprestij Zepp Kuala Lumpur pada 29 Ogos ini nampaknya tidak kesampaian apabila penganjur mengumumkan penangguhan Konsert Kelate KL 2026.
Menurut kenyataan rasmi yang diedarkan penganjur utamanya, Natriya Enterprise dengan kerjasama Ikarl Project dan sokongan Irama Entertainment memaklumkan bahawa keputusan sukar itu terpaksa diambil ekoran beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan.
Jelas pihak penganjur, penangguhan ke satu tarikh baharu yang akan diumumkan kelak itu juga bertujuan bagi memberi ruang kepada penyelarasan dan pertimbangan lanjut, demi memastikan kelancaran keseluruhan acara tersebut.
“Pihak penganjur memahami bahawa penangguhan ini mungkin menimbulkan sedikit kesulitan kepada para peminat yang telah membuat perancangan awal untuk menghadiri Konsert Kelate KL 2026.
“Sehubungan itu, pihak penganjur memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan amat menghargai kesabaran, pemahaman serta sokongan berterusan daripada semua,” dipetik daripada kenyataan media tersebut.
Dalam pada itu, bagi pemegang tiket yang mungkin berasa bimbang dengan status pembelian mereka, pihak penganjur memberi jaminan bahawa proses pemulangan wang (refund) akan disediakan.
- Proses ini terbuka kepada mereka yang telah membuat pembelian melalui platform tiket rasmi, Ilasso.
- Maklumat terperinci mengenai kaedah dan tempoh pemulangan wang ini akan dimaklumkan melalui saluran rasmi penganjur dan Ilasso dalam masa terdekat.
- Pembeli dinasihatkan untuk menyimpan bukti pembelian, nombor pesanan, serta maklumat tiket masing-masing bagi melancarkan urusan pemulangan wang.
Meskipun berdepan penangguhan, pihak penganjur tetap optimis untuk meneruskan acara yang mengangkat semangat “SUARO KITO, JIWO KITO – 100% ORI KELATE” ini pada masa akan datang. Konsert ini pada awalnya dirangka khusus sebagai platform meraikan keunikan muzik, identiti, dan warisan Kelantan termasuk persembahan Dikir Barat dan Wayang Kulit di tengah ibu kota.
Turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, projek berskala besar ini turut disokong oleh Rakan Strategik iaitu Sony Music Malaysia dan Sentuhan Records, manakala stesen radio Molek FM bertindak sebagai Radio Rasmi.
Peminat diharap terus bersabar dan menantikan pengumuman tarikh baharu di mana pihak penganjur menjanjikan persiapan yang lebih mantap dan tersusun.
