Ikuti Kami:

1,800 Peminat Terpaku, Ari Lesmana Hidupkan MANGU Dengan Penuh Jiwa

1,800 Peminat Terpaku, Ari Lesmana Hidupkan MANGU Dengan Penuh Jiwa

KUALA LUMPUR – Pentas Zepp Kuala Lumpur bertukar menjadi gelanggang emosi yang sarat dengan rasa rindu, tenang, duka dan bahagia apabila vokalis tersohor, Ari Lesmana, menjayakan konsert solo MANGU di Kuala Lumpur pada 15 Ogos lalu.

Dianjurkan oleh Rockstage Entertainment, persembahan berdurasi penuh itu berjaya menghimpunkan lebih 1,800 peminat yang hadir bukan sekadar untuk mendengar nyanyian, sebaliknya menyelusuri kisah penceritaan puitis yang disampaikan oleh penyanyi berkenaan.

Sesuai dengan maksud ‘MANGU’ yang menterjemahkan keadaan seseorang yang terkesima, termenung atau tenggelam dalam perasaan yang mendalam, Ari menyampaikan setiap naskhah dengan penuh intim dan berjiwa.

1,800 Peminat Terpaku, Ari Lesmana Hidupkan MANGU Dengan Penuh Jiwa

MANGU bukan sekadar konsert, Ari Lesmana tampil sebagai pencerita yang menyentuh hati.

 

Perjalanan Emosi Menerusi Deretan Lagu ‘Hits’

Tirai malam dibukakan dengan indah menerusi lagu What A Wonderful World, sebelum Ari mula mengheret emosi penonton secara perlahan-lahan menerusi naskhah Ada Titik-Titik Diujung Doa, Hitam Putih, Menghitung Hari 2, Pupus, dan Runtuh. Antara momen yang paling mencuri tumpuan ialah apabila Ari memberikan sentuhan peribadi menerusi lagu saduran popular kumpulan Hujan, Pagi Yang Gelap, yang disambut gema nyanyian bersama penonton.

Suasana kemudian bertukar rancak namun tetap tenang menerusi seleksi lagu Everything You Are, Negara Lucu, Zona Nyaman, dan Aku Tenang.

“Lagu-lagu berkenaan bukan sekadar menjadi bahan nyanyian bersama, malah menghidupkan sisi Ari sebagai penyanyi yang begitu kuat dengan elemen penceritaan,” kata kenyataan media penganjur.

1,800 Peminat Terpaku, Ari Lesmana Hidupkan MANGU Dengan Penuh Jiwa

Ari Lesmana, ENAU Dan DJ Firza satukan jiwa peminat dalam MANGU Kuala Lumpur

 

Sentuhan Eksperimen Elektronik & Penampilan ENAU

Kemunculan artis jemputan, ENAU, menambah warna kepada persembahan malam itu dengan membawakan mesej kejujuran dan kehidupan menerusi lirik-liriknya yang bersahaja. Kehadiran ENAU turut menjadi jambatan yang menyambungkan irama tempatan dengan perjalanan muzik Ari dari Indonesia.

Selain itu, kolaborasi Ari bersama DJ Firza memberikan dimensi segar buat muzik indie-elektronik. Gabungan vokal lunak Ari dan adunan muzik elektronik moden menciptakan suasana magis tanpa melenyapkan karakter asal karya-karyanya.

1,800 Peminat Terpaku, Ari Lesmana Hidupkan MANGU Dengan Penuh Jiwa

Ari Lesmana tinggalkan peminat dalam keadaan ‘Mangu’ selepas persembahan penuh jiwa di KL.

 

Kemuncak ‘MANGU’ & Momen Peribadi Bersama Ayah

Keadaan dewan semakin larut apabila Ari menyampaikan rangkaian lagu popular seperti Angin Kencang, Fana Merah Jambu, Nina, Bersamaku Akan Sedikit Susah, dan Aku Harus Pergi. Tiba pada kemuncak acara, lagu MANGU dialunkan sebagai titik pertemuan kepada seluruh emosi yang dibina sejak awal konsert.

Suasana konsert turut diserikan dengan momen peribadi menerusi segmen khas ‘Sesi Potret Bersama Ayah’, yang menyentuh hati penonton dan membawa mereka masuk ke ruang peribadi kehidupan penyanyi itu. Malam penuh bermakna itu diakhiri dengan persembahan lagu Cincin, sebelum melabuhkan tirai menerusi dua lagu bonus iaitu Cinta & Rahasia serta Persembahan Dari Masa Lalu.

Loading...