Penangan Teh Tarik! Alif Satar, Danny Koo & Kidd Santhe Bersatu Dalam “Bersama, Kita Tertarik” Sempena Merdeka
- oleh Editor MYBUZZ
- 14 Aug 2026 12:11 pm
KUALA LUMPUR: Siapa sangka, minuman ruji rakyat Malaysia iaitu teh tarik mampu menjadi inspirasi utama dalam menyatukan tiga profil muzik berbeza. Sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-69, kumpulan popular Alif Satar & The Locos telah bergandingan dengan pemuzik tempatan Danny Koo serta bakat generasi baharu, Kidd Santhe untuk melancarkan sebuah naskhah istimewa berjudul “Bersama, Kita Tertarik”.
Mengangkat secawan teh tarik sebagai simbolik perpaduan, kebersamaan dan kepelbagaian budaya, lagu ini meraikan nilai persahabatan serta semangat masyarakat majmuk yang terus membentuk identiti negara.

Dari secawan Teh Tarik ke lagu perpaduan, “Bersama, Kita Tertarik” raikan semangat Malaysia.
Bagi Kidd Santhe dan Danny Koo, jawapan kepada formula penyatuan masyarakat tanpa mengira kaum, bahasa atau usia terletak pada keunikan budaya menikmati teh tarik. Ia bukan sekadar minuman, malah sebahagian daripada budaya harian apabila rakan-rakan berkumpul dan berbual di kedai Mamak atau kopitiam.
Pemilihan tajuk “Bersama, Kita Tertarik” juga sarat dengan maksud tersirat yang cukup kreatif. Perkataan “Bersama” menterjemahkan nilai kebersamaan, manakala “Tertarik” menggambarkan bagaimana rakyat daripada pelbagai latar belakang mampu saling mendekati dan membina hubungan. Lebih menarik, perkataan “Tarik” merujuk secara terus kepada teh tarik, sekali gus menghubungkan minuman ikonik itu dengan mesej penyatuan.

Lagu baharu Merdeka gabung elemen tradisional dan moden dalam satu suara Malaysia.
Lagu ini merupakan hasil ciptaan bersama Kidd Santhe, Danny Koo dan Kien Lim, manakala Kidd Santhe bertindak sebagai penerbit dengan Danny Koo sebagai penerbit bersama. Dari sudut susunan muzik, karya ini memperlihatkan gabungan indah antara instrumen tradisional yang mewakili pelbagai latar belakang budaya tempatan dengan elemen muzik kontemporari.
Kolaborasi ini jelas membuktikan satu sinergi luar biasa hasil himpunan tiga kekuatan muzik. Alif Satar & The Locos menyumbangkan elemen persembahan ‘live’ yang memberikan sentuhan bertenaga, hangat dan dinamik. Dalam pada itu, pengalaman luas Danny Koo menyuntik dimensi muzik yang lebih matang dan kemas. Kidd Santhe pula melengkapkan karya ini dengan elemen urban dan pengaruh muzik kontemporari yang sangat dekat dengan jiwa generasi muda hari ini.
Penerbitan lagu ini turut mendapat sokongan daripada jenama tempatan, 888 Tea & Coffee yang melihat muzik sebagai medium terbaik mendekati anak muda sambil mempromosikan budaya harian masyarakat Malaysia.
Bagi meneruskan tema kebersamaan, sebuah muzik video rasmi turut dilancarkan. Muzik video ini mengetengahkan perspektif generasi muda terhadap Malaysia yang meriah, pelbagai dan saling terhubung, dengan memaparkan interaksi kehidupan harian di bandar serta momen bersama rakan-rakan. Lagu “Bersama, Kita Tertarik” kini sudah boleh didengari di semua platform muzik digital utama, manakala muzik video rasminya boleh ditonton menerusi pautan YouTube yang disediakan.
