Gelanggang Panas Hari Malaysia: 60 Selebriti Berentap Demi Kejuaraan RM10,000 Dalam ‘Celebrity Showdown’
- oleh Editor MYBUZZ
- 15 Aug 2026 5:36 pm
KUALA LUMPUR — Sukan pickleball yang kini mencetuskan fenomena hangat di seluruh negara bakal menyaksikan detik kejutan terbesar apabila lebih 60 personaliti hiburan ternama bersatu di bawah satu bumbung sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini. Kejohanan yang dinamakan Celebrity Showdown 2026 itu dijangka mengubah gelanggang Tomaz Pickleball Club, Subang menjadi medan ujian persahabatan, strategi pantas, dan persaingan berprestij penuh warna-warni.

Foto dari kiri, Johan Raja Lawak dan Sharif Zero hadir di sidang media Celebrity Showdown Tournament semalam di Serasa Garden Taman Melawati, Kuala Lumpur
Dianjurkan bersama oleh 88 House of Event dan Everxon Sdn Bhd, gagasan kejohanan ini lahir daripada ilham dua figura komedi tempatan, Sharif Zero dan Johan Raja Lawak. Melihat rakan-rakan industri semakin kemaruk menghabiskan masa lapang dengan melepaskan pukulan pancing di gelanggang, timbul idea kreatif untuk menukar hobi santai tersebut menjadi satu pertandingan berprestij yang belum pernah dianjurkan sebelum ini.
Bukan sekadar perlawanan pertunjukan biasa, kejohanan ini menghimpunkan seramai 56 artis yang diplotkan ke dalam lapan pasukan utama. Setiap skuad dipimpin oleh seorang kapten berprofil tinggi antaranya pelakon serba boleh Adlin Aman Ramlie, pengacara prolifik Dato’ AC Mizal, personaliti popular Harris Anuar, Luqman Hafidz, Hilmi Ashley, Imran Aqil, selain Sharif dan Johan sendiri.
Namun, daya tarikan paling sengit terletak pada elemen kejutan yang disediakan oleh penganjur. Kesemua enam ahli pasukan bagi setiap kapten yang merangkumi gabungan seimbang pemain lelaki dan wanita dan hanya akan ditentukan secara cabutan undian terus pada pagi kejohanan. Strategi ini memaksa setiap kapten membina keserasian kilat tanpa sempat melakukan latihan taktikal khusus lebih awal.
“Apa yang paling penting adalah peluang untuk kita rakan-rakan seni berkumpul dan mengeratkan silaturahim. Dalam masa yang sama, kita bersukan dan bersaing secara sihat di lapangan yang berbeza daripada pentas seni biasa.” Kata Sharif Zero, Pengasas Bersama & Kapten Kejohanan.
Menambah daya tarikan kejohanan, bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (KJ) bukan sahaja dijadualkan menyertai saingan di gelanggang, malah diberi penghormatan untuk menyempurnakan pelancaran rasmi kejohanan. Kehadiran KJ dijangka menyuntik elemen persaingan bersuhu tinggi di samping kelibat bintang-bintang muzik seperti Tomok dan Ayie Floor 88.
Selain rebutan gelaran Juara Sulung Celebrity Showdown dan ganjaran wang tunai RM10,000 yang berpotensi meningkat menerusi tajaan saat akhir. Kejohanan ini turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan hiburan dan cabutan bertuah berharga, termasuk sebuah motosikal elektrik (EV) buat pengunjung bertuah.
Pemilihan tanggal 16 September disifatkan sangat bertepatan dengan semangat kebersamaan Hari Malaysia. Menerusi penglibatan pelakon, penyanyi, pelawak, serta pengacara rentas generasi, penganjur mengibarkan mesej bahawa sukan mampu menjadi tali pengikat silaturahim yang ampuh dalam suasana pertandingan yang sihat dan penuh gelak tawa.
Menurut Johan Raja Lawak, impian mereka tidak terhenti pada edisi pertama ini sahaja. Pihak penganjur komited untuk menjadikan Celebrity Showdown sebagai acara ikonik berkala sama ada dianjurkan setiap enam bulan atau setahun sekali. Ia memberikan penggiat seni sentiasa mempunyai ruang fizikal untuk kekal aktif dan saling bertukar kabar di luar rutin padat dunia hiburan.
Pada Majlis yang sama Johan dan Sharif turut mengumumkan kewujudan Persatuan Selebriti dan Komuniti yang dikenali sebagai SEBATI yang turut menjadi tulang belakang acara ini. Menurut Johan, SEBATI baru sahaja didaftarkan dan ini merupakan acara pertama yang diadakan. Menurut beliau, akan ada banyak lagi acara yang akan dirancang dan berharap dengan adanya persatuan ini akan mengeratkan silaturahim antara selebriti dan komuniti dalam setiap perancangan dan aktiviti diadakan pada masa akan datang.




