Dari Luka Ke Kebangkitan, Ernie Zakri Mekar Dengan ‘Sejambak Bunga’
- oleh Editor MYBUZZ
- 13 Aug 2026 2:30 pm
KUALA LUMPUR – Penyanyi vokal berpengaruh tanah air, Ernie Zakri, terus melakar penanda aras baharu dalam perjalanan kerjaya seninya apabila melancarkan single terbaharu bertajuk ‘Sejambak Bunga’ menerusi acara berprestij Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026.
Pementasan sulung lagu berkenaan yang berlangsung pada 8 Ogos lalu di Esplanade, KLCC Park memperlihatkan penyatuan unik antara dunia muzik dan fesyen. Ia dipersembahkan secara eksklusif sewaktu pertunjukan fesyen koleksi “Lerai” oleh pereka tersohor Zaimi Zulkafli yang membawa mesej serta semangat yang selari dengan naskhah muzik berkenaan.

Ernie Zakri pertaruh ‘Sejambak Bunga’, lagu tentang luka, kekuatan dan permulaan baharu.
Mengulas mengenai pemilihan pentas fesyen bagi memperkenalkan karya terbaharunya, Ernie mendedahkan wujud persamaan rasa antara lagu dan koleksi pakaian yang dipersembahkan.
“Apabila saya memahami konsep ‘Lerai’ yang dibawa oleh Zaimi, saya rasa ada persamaan dengan apa yang ingin saya sampaikan melalui ‘Sejambak Bunga’.
“Muzik dan fesyen mempunyai cara yang berbeza untuk bercerita, tetapi kedua-duanya mampu menyampaikan rasa dan emosi. Sebab itu saya rasa pentas ini sangat sesuai untuk memperkenalkan lagu ini,” katanya.
Ciptaan Pertama Hael Husaini & Iqie Hugh buat Ernie Zakri
Dari sudut produksi, ‘Sejambak Bunga’ melakar sejarah tersendiri apabila menjadi karya pertama hasil ciptaan dan lirik bersama komposer popular Hael Husaini serta Iqie Hugh buat penyanyi berkenaan.
Tampil lebih matang dan reflektif, lagu ini membawa mesej mendalam mengenai keberanian untuk menerima perjalanan hidup, belajar daripada pengalaman lalu, serta kebangkitan untuk menjadi versi diri yang lebih baik.
“‘Sejambak Bunga’ bagi saya ialah sebuah lagu tentang kebangkitan. Kita semua melalui pelbagai fasa dalam kehidupan dan setiap pengalaman itu sedikit sebanyak membentuk siapa diri kita hari ini.
“Tak semua luka perlu dibalas dengan luka. Kadang-kadang kemenangan kita ialah apabila kita tetap memilih untuk menjadi baik. Bagi saya, kekuatan sebenar adalah apabila kita mampu terus melangkah dengan hati yang tenang tanpa membiarkan pengalaman lalu mengubah nilai yang kita pegang,” tegas Ernie.

Ernie Zakri, Hael Husaini dan Iqie Hugh bersatu dalam karya penuh makna.
Mawar Putih Sebagai Simbol Ketenangan & Permulaan Baharu
Sebagai seorang wanita, isteri, ibu, dan anak seni, Ernie melihat perubahan yang dilaluinya menjadi proses kedewasaan yang turut mempengaruhi pendekatannya dalam bermuzik. Walau bagaimanapun, beliau berharap pendengar dapat memberikan tafsiran personal masing-masing mengikut latar cerita hidup sendiri apabila mendengarkan karya tersebut.
Bagi melengkapkan dimensi visual single ini, mawar putih dipilih sebagai simbol utama yang melambangkan ketenangan, harapan, serta ruang untuk sebuah permulaan baharu tanpa perlu melupakan kenangan lalu. Single terbaharu ‘Sejambak Bunga’ kini boleh didengar dan distrim di semua platform penstriman digital utama.
