Ikuti Kami:

Sambut 30 Tahun, Astro Buka Semua Saluran Percuma Bermula 15 Ogos Ini!

Sambut 30 Tahun, Astro Buka Semua Saluran Percuma Bermula 15 Ogos Ini!

KUALA LUMPUR – Gergasi penyiaran dan peneraju kandungan hiburan tanah air, Astro, meraikan ulang tahun ke-30 penubuhannya menerusi ganjaran berskala besar buat seluruh rakyat Malaysia.

Bermula Ogos sehingga Disember 2026, Astro menawarkan pelbagai keistimewaan luar biasa termasuk akses percuma ke semua saluran Astro, pelancaran dua saluran khas, kebenaran akses perkhidmatan TV Pintar, serta penganjuran acara lapangan bertaraf bintang.

Akses Semua Saluran Percuma & Dua Saluran Pop-Up Khas

Tawaran yang paling dinantikan ramai pastinya akses percuma kepada semua saluran Astro yang bermula dari 15 Ogos hingga 16 September 2026.

 

Bagi menyemarakkan lagi sambutan 30 tahun dan Hari Kebangsaan, Astro turut memperkenalkan dua saluran pop-up khas iaitu Astro 30 (Saluran 100) dan Aniplus (Saluran 120):

  • Astro 30 (Saluran 100): Boleh ditonton bermula 15 Ogos hingga 31 Oktober 2026, membawakan himpunan filem blockbuster antarabangsa seperti kesemua lapan filem Spider-Man, filem fenomena How to Make Millions Before Grandma Dies, BTS: Love Yourself in New York Concert Film, dokumentari Tekad: Ekspedisi Guthrie Everest 2026, rancangan Tom Tom Bak, serta tayangan The Last Kopek Senario Reunion 30 Tahun.
  • Aniplus (Saluran 120): Boleh ditonton bermula 15 Ogos hingga 31 Disember 2026, khusus buat peminat anime Jepun dengan sajian siri terbaharu seperti Trapped in a Dating Sim 2: The World of Otome Games is Tough for Mobs dan Hanaori-san Still Wants to Fight in the Next Life.

Bukan itu sahaja, pengguna NJOI turut menikmati penambahan empat saluran percuma iaitu Astro Prima (Saluran 105), Astro Oasis (Saluran 106), Astro AEC (Saluran 306), dan Stadium Astro (Saluran 802) bermula 13 Ogos, menjadikan jumlah tontonan percuma NJOI sebanyak 26 saluran secara keseluruhan.

Sambut 30 Tahun, Astro Buka Semua Saluran Percuma Bermula 15 Ogos Ini!

30 tahun Astro, tiga dekad menghubungkan rakyat Malaysia melalui kandungan berkualiti. – Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan

 

Menghargai Tiga Dekad Kepercayaan Rakyat Malaysia

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan, meluahkan rasa terharu dan setinggi-tinggi penghargaan atas sokongan berterusan masyarakat Malaysia yang telah menjadikan Astro sebahagian daripada kehidupan seharian mereka sepanjang tiga dekad.

“Sepanjang tiga dekad yang lalu, kami amat berbesar hati kerana berpeluang memainkan peranan penting dalam membentuk landskap media dan hiburan negara, serta terus berkhidmat kepada komuniti di seluruh Malaysia menerusi pelbagai cerita, hiburan, pendidikan dan pengalaman yang dikongsi bersama.

“Selari dengan landskap media yang terus berkembang, kami kini lebih komited untuk mengangkat kisah-kisah Malaysia, memupuk bakat generasi baharu serta mencipta pengalaman yang mampu menyatukan rakyat Malaysia,” katanya.

Sebagai kemudahan tambahan dalam era digital, Astro turut menawarkan akses Astro X3 pada semua peranti TV pintar, membolehkan pengguna memulakan penstriman terus menerusi aplikasi Astro tanpa memerlukan sebarang dekoder.

Sambut 30 Tahun, Astro Buka Semua Saluran Percuma Bermula 15 Ogos Ini!

Faizal Tahir, Stacy, ALPHA dan ramai lagi bakal memeriahkan sambutan Astro 30th Anniversary Showcase

 

Gegar Pavilion KL Dengan ‘Astro 30th Anniversary Showcase’

Kemuncak kehangatan sambutan ini bakal menyaksikan penganjuran Astro 30th Anniversary Showcase yang dijadualkan berlangsung pada 23 Ogos 2026 di Pintu Masuk Utama Pavilion Kuala Lumpur dari jam 4 petang hingga 10 malam.

Pentas gah berkenaan bakal dihujani bintang-bintang ternama tanah air seperti Faizal Tahir, Sherry Al Hadad, Stacy Anam, ALPHA, Vanessa Reynauld, Auddra, serta kumpulan tarian sensasi Zeppo Youngsterz.

Peminat juga berpeluang bertemu barisan pelakon utama daripada naskhah hebat termasuk Kudrat (prekuel Project: High Council), Terbang (filem inspirasi pelumba ralli legenda Karamjit Singh), drama Cina Wolong: The Mastermind, serta siri Tamil Visham.

Selain acara showcase, Astro Audio turut menyemarakkan sambutan menerusi inisiatif jelajah KITA FM 2026: Satu Nama, Satu Suara, penganjuran Larian 63 Kilometer untuk mengejar rekod Malaysia Book of Records, serta konsert MY FM Big Show di Arena of Stars, Genting Highlands pada 17 Oktober depan.

Loading...