AVOCake Pukis & Delight Bawa Sajian Viral Indonesia, Jadi Destinasi Baharu Pencinta Kulinari Nusantara
- oleh Editor MYBUZZ
- 13 Aug 2026 11:56 am
KUALA LUMPUR – Bagi penggemar tegar masakan dari negara seberang, anda kini tidak perlu lagi terbang jauh semata-mata untuk menikmati kelazatan kulinari asli Nusantara. Semuanya kini terhimpun di bawah satu bumbung di AVOCake Pukis & Delight, sebuah restoran berkonsepkan ‘family dining’ yang menjanjikan pengalaman gastronomi luar biasa.
Terletak di Sentul, restoran baharu ini tampil sebagai destinasi kulinari wajib kunjung yang menghimpunkan pelbagai sajian ikonik dan hidangan viral dari seluruh pelosok Republik Indonesia.
Antara menu ‘killer’ yang pastinya menggetarkan selera pelanggan termasuklah Iga (Rusuk) Bakar, Nasi Iga Goreng, Sate Kambing Madura, Set Sup Janda, dan Sup Konro. Tidak ketinggalan, pelbagai variasi Nasi Bakar serta snek jalanan (street food) popular yang sering viral di media sosial seperti Cireng, Cilok, Tempe Mendoan, Batagor, Sempol Ayam dan Daging, Tauhu Goreng Crispy, Pukis, Bakwan, dan Somai turut dihidangkan. Bagi melengkapkan hidangan, restoran ini turut mempertaruhkan seleksi manisan dan minuman istimewa berasaskan buah avokado yang menjadi ‘signature’ tarikan mereka.

Inspirasi 7 Tahun Di Bumi Garuda
Di sebalik keenakan hidangan yang disajikan, wujud kisah inspirasi Pengasas dan Pengarah Bersama restoran ini, Dr. Shamsiah Yaakob. Beliau mendedahkan bahawa kecintaannya terhadap masakan Indonesia berputik ketika beliau berkhidmat sebagai pensyarah di Universitas Diponegoro, Semarang selama tujuh tahun.
“Sambil menetap di sana, saya yang kebetulan memang gemar memasak mengambil peluang untuk mempelajari cara penyediaan pelbagai jenis masakan tempatan. Pada tahun 2025, terdetik di hati saya, mengapa tidak saya buka perniagaan dan membawa cita rasa Indonesia ini ke Malaysia?” kongsinya.
Langkah pertama bermula dengan pembukaan sebuah outlet kecil di UTC Ampangan, Seremban sebelum perniagaan itu dikembangkan dengan pembukaan restoran di Sikamat pada penghujung tahun yang sama susulan sambutan yang sangat menggalakkan.

Dr. Shamsiah Yaakob (tengah), Pengasas dan Pengarah Bersama AVOCake Pukis & Delight, bersama Ellie Suriaty (kiri) dan Datuk Nadzim Johan (kanan) pada majlis perasmian cawangan terbaharu restoran AVOCake Pukis & Delight di Sentul, Kuala Lumpur.
Sokongan Selebriti & Tokoh Indonesia
Siapa sangka, cawangan di Sikamat itu telah menarik perhatian Presiden Komunitas Ibu Cerdas Indonesia (KICI) yang juga merupakan selebriti dan ahli politik Indonesia, Ratieh Sanggarwaty Zen.
Hasil kunjungan dan perbualan mereka, tercetuslah idea perluasan cawangan ke Kuala Lumpur. Ratieh, bersama beberapa rakan pelaburnya dari Indonesia iaitu Andi Nilawati Bau Rifai, Soraya Roshanty Yoesoef dan Eny Martuti Kamidjo turut bertindak sebagai pelabur dan pembiaya bagi restoran terbaharu ini.
Kemeriahan majlis perasmian dan pelancaran AVOCake Pukis & Delight di Kuala Lumpur baru-baru ini juga membuktikan daya tarikan restoran ini apabila ia turut diserikan dengan kehadiran barisan artis terkenal tanah air seperti Ellie Suriaty, Saiful Apek, Raja Azmi dan Rosnan Rahman.
Sementara itu, Pengarah Bersama, Mohd Azri Ahmad Kamil, berkata pemilihan menu di restoran itu dibuat secara teliti bagi memastikan ia relevan dengan landskap kulinari masa kini.
“Banyak hidangan dari Indonesia menjadi viral kerana keunikan rasa, persembahan dan kisah di sebaliknya. Kami mahu membawa pengalaman itu ke Sentul untuk dinikmati bersama pelanggan di sini,” katanya.
Menjadikan ungkapan “rasa Indonesia, pengalaman istimewa” sebagai pegangan, AVOCake Pukis & Delight bukan sekadar tempat menjamu selera, malah bersedia menjadi hab pertemuan yang meraikan keindahan budaya dan gastronomi berkualiti. Impian Dr Shamsiah juga tidak terhenti di sini; beliau mempunyai wawasan untuk membawa pula kelazatan makanan Malaysia ke pasaran Indonesia pada masa akan datang






