Elak ‘Clashing’ Dengan AJL 40, Konsert The Rayhan Syukur 26 Dianjak Ke 31 Oktober
- oleh Editor MYBUZZ
- 12 Aug 2026 6:39 pm
KUALA LUMPUR – Kumpulan nasyid popular, The Rayhan, mengumumkan penangguhan konsert berskala besar mereka, Konsert The Rayhan Syukur 26, yang pada awalnya dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini, 15 Ogos 2026.
Tarikh pementasan baharu kini ditetapkan pada 31 Oktober 2026 dan masih mengekalkan lokasi yang sama iaitu di MegaStar Arena, Kuala Lumpur. Keputusan penganjakan tarikh tersebut dibuat bagi memberi ruang yang lebih mencukupi untuk persiapan rapi kumpulan tersebut.

Tunggu lagi sedikit! Konsert The Rayhan Syukur 26 kini 31 Oktober. – Ikhram Zainuddin@Atom wakil Bintang Batu Event.
Wakil Bintang Batu Event, Ikhram Zainuddin atau Atom, menjelaskan bahawa jadual padat barisan pemuzik dan anggota kumpulan menjadi antara faktor utama pengunduran tarikh ini.
“Pihak penganjur tidak mahu kemunculan semula The Rayhan selepas sekian lama tidak mengadakan persembahan berskala besar dilakukan secara tergesa-gesa.
“Hampir 90 peratus pemuzik yang terbabit adalah mereka yang pernah mengiringi persembahan Raihan sebelum ini, justeru masa tambahan diperlukan bagi menyelaraskan latihan dan susunan persembahan,” katanya.
Selain itu, faktor penangguhan turut didorong oleh pertindihan tarikh asal dengan penganjuran acara gilang-gemilang, Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL 40) yang akan berlangsung di Unifi Arena, Kuala Lumpur. Pihak penganjur turut mengambil kira luahan peminat yang memohon tarikh dianjakkan ekoran lambakan acara hiburan lain sepanjang bulan Ogos.

Nazrey akui perlukan masa, The Rayhan mahu kemunculan semula yang benar-benar berbaloi.
Nazrey Lega Dapat Masa Tambahan, Harga Tiket Kekal
Sementara itu, vokalis utama The Rayhan, Nazrey Johani, menyambut baik dan menzahirkan rasa lega dengan perubahan jadual tersebut. Beliau mengakui bahawa jarak masa hampir 20 tahun tanpa penganjuran konsert berskala besar sememangnya menuntut tempoh latihan yang lebih panjang.
“Jadual Ogos yang padat serta kekangan masa menyebabkan pertemuan dengan penyusun muzik dan perancangan persembahan menjadi agak suntuk. Penangguhan ini memberikan saya dan anggota lain ruang serta tarikh baharu yang lebih selesa untuk membuat persediaan,” ujarnya.
Kumpulan yang turut membariskan bekas anggota Raihan yang lain, iaitu Amran Ibrahim dan Afad Ahmad, berharap penangguhan ini mampu menyajikan kemunculan semula yang lebih mantap buat peminat yang sudah lama menanti.

Noki, MK K-Clique dan Opick kekal meriahkan konsert The Rayhan Syukur 26
Konsert ini bakal dihangatkan lagi dengan penampilan artis undangan istimewa termasuk duo rap popular, Noki dan MK K-Clique, serta penyanyi terkenal dari Indonesia, Opick.
Dalam pada itu, gabungan penganjur yang terdiri daripada Bintang Batu Event, Magnificent G Ventures, dan Million Delight Sdn Bhd turut mengesahkan bahawa harga tiket bagi Konsert The Rayhan Syukur 26 kekal seperti tawaran asal, sekali gus memastikan peminat tidak terjejas dengan sebarang pertukaran.
