Ikuti Kami:

Ibu Doa, Sebuah Karya Dirakam Dato’ Khadijah Ibrahim Selepas 26 Tahun

Ibu Doa, Sebuah Karya Dirakam Dato’ Khadijah Ibrahim Selepas 26 Tahun

KUALA LUMPUR — Selepas lebih dua dekad tidak tampil dengan karya rakaman baharu, legenda muzik tanah air, Dato’ Khadijah Ibrahim, akhirnya mengubati kerinduan para peminat menerusi pelancaran single terbaharu beliau yang berjudul “Ibu Doa”.

Kemunculan semula penyanyi yang mesra disapa sebagai “Ibu” ini menandakan detik bersejarah dalam industri hiburan tempatan selepas 26 tahun tidak menghasilkan lagu baharu. Lagu ini membawa mesej mendalam yang mengangkat nilai kasih sayang, pengorbanan, serta doa seorang ibu yang tiada penghujungnya.

Dato’Khadijah Ibrahim berkata, “lagu Doa Ibu ni ialah untuk anak supaya menghargai pengorbanan Ibu,kita dapat merasai macam mana seorang ibu kehilangan anak, macam mana seorang ibu yang risau tentang anak,di mana seorang ibu mencari-cari anak dan ini memainkan emosi yang begitu berat kami sebagai ibu

“Bukan hanya satu lagu ini sahaja, Insya-Allah ada tiga buah lagu akan dihasilkan dan saga berharap agar lagu Ibu Doa mendapat perhatian dan sambutan masyarakat” Ujar beliau lagi.

Lagu “Ibu Doa” diterbitkan oleh Jasmine Raj Production, manakala lirik dan melodinya merupakan hasil ciptaan Baizura Tazri.


Foto Majlis Pelancaran Single Lagu Ibu Doa dihadiri oleh Datin Seri Dato’ Jasmin Raj selaku Penerbit (3 dari kiri)

Bagi memastikan kualiti dan emosi lagu menyampaikan impak yang mendalam, single ini mendapat sentuhan Syam Swardy Daud selaku Pengarah Muzik yang turut bertindak sebagai pemain gitar. Penghasilan “Ibu Doa” diperkemaskan lagi dengan penglibatan barisan pemuzik profesional tanah air, antaranya Ruslan Imam bagi gubahan string, Daniel Saha di posisi drum, Kabung yang memainkan bass, Isyam Swardy Daud pada gitar, serta Johan John yang mengendalikan piano. Suasana lagu ini turut disempurnakan lagi dengan alunan vokal latar daripada Nana, Hajar, dan Jupin.

Menurut Baizura, lagu ini dihasilkan sebagai hadiah buat semua ibu dan peringatan buat anak-anak agar sentiasa menghargai pengorbanan insan bergelar ibu selagi ada peluang.

“Setiap daripada kita lahir daripada kasih seorang ibu. Walau setinggi mana kita melangkah, doa ibu sentiasa menjadi pelindung dan kekuatan,” kata Baizura.

Pihak Jasmine Raj Production turut meluahkan rasa bangga kerana diberi peluang untuk membawa kembali suara ikonik legenda muzik yang telah mewarnai persada seni negara selama lebih lima dekad.

Dato’ Khadijah Ibrahim, yang mula memulakan kerjaya seni pada era 1970-an, merupakan antara ikon muzik wanita paling disegani di Malaysia. Sepanjang kerjayanya, beliau telah menghasilkan 18 buah album dan lebih 180 buah lagu, serta menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Platinum. Lagu-lagu malar segar beliau seperti “Doa Buat Kekasih” dan “Kupendam Sebuah Duka” terus kekal menjadi siulan ramai sehingga kini.

Sepanjang perjalanan seninya, beliau juga pernah bekerjasama dengan komposer tersohor tanah air seperti Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab, Allahyarham Dato’ S. Atan, Ismail Farez, serta Allahyarham Adnan Abu Hassan.

Single “Ibu Doa” bakal dilancarkan di semua platform penstriman digital utama, di mana tarikh rasmi pelancaran akan diumumkan kelak oleh pihak pengurusan. Kehadiran karya ini dijangka mampu menyentuh hati pendengar daripada pelbagai lapisan generasi serta mencipta fenomena baharu dalam muzik tanah air.

Loading...