Ubat Rindu Peminat! Yusry Muncul Dengan Album Solo ‘Eternal’ Selepas 2 Dekad Menyepi
- oleh Editor MYBUZZ
- 26 Jul 2026 4:29 pm
KUALA LUMPUR – Selepas lebih tiga dekad mengukuhkan empayar seninya sebagai penyanyi, komposer, pelakon dan pengarah tersohor, figura seni popular Yusry Abdul Halim kini membuat kemunculan semula yang sangat dinanti-nantikan oleh peminat. Beliau akhirnya kembali bergelar artis solo menerusi pelancaran album penuh terbaharunya yang diberi judul Eternal.
Diterbitkan di bawah syarikat rakaman Sony Music Entertainment Malaysia, Eternal menandakan album solo pertama Yusry selepas lebih dua dekad, sekali gus menonjolkan sisi kematangannya sebagai seorang pengkarya yang sentiasa berevolusi.
Bagi meraikan pelancaran naskhah bermakna ini, Yusry telah diraikan dalam sebuah acara istimewa, Eternal Gala Night yang berlangsung di JioSpace pada 25 Julai 2026, pada jam 8.30 malam. Album tersebut kemudiannya dilancarkan secara rasmi tepat jam 9.00 malam dan kini sedia untuk didengari di seluruh platform penstriman digital utama.

‘Eternal’ Lambang Emosi Dan Kehidupan
Mengulas mengenai pemilihan judul album, Yusry menjelaskan bahawa perkataan Eternal dipilih bagi menterjemahkan hal-hal yang kekal abadi dalam kehidupan seseorang manusia. Ini termasuklah kenangan, kasih sayang, fasa kehilangan, mahupun harapan yang membentuk diri.
“Saya memilih tajuk Eternal kerana saya percaya setiap orang mempunyai cerita yang akan kekal bersama mereka sepanjang hidup. Ada kenangan yang menggembirakan, ada juga yang menyakitkan, tetapi semuanya membentuk siapa diri kita hari ini.
“Saya harap album ini dapat menjadi teman kepada pendengar, tidak kira di mana mereka berada dalam perjalanan hidup masing-masing,” kongsinya.

Sentuhan Magis Luca Sickta & 6 Karya Istimewa
Album Eternal memuatkan enam buah lagu yang sarat dengan pelbagai warna penceritaan dan emosi. Lebih menarik, Yusry turut bekerjasama dengan penyanyi rap dan komposer berbakat, Luca Sickta untuk dua buah lagu iaitu Jiwa & Raga serta Hancur Kecewa.
Menurut Luca, beliau sudah lama membayangkan karakter vokal Yusry sewaktu proses penulisan lagu kerana kematangan penyampaian penyanyi itu mampu menghidupkan emosi jujur di dalam karya berkenaan. Manakala, baki empat lagu lagi di dalam album ini adalah hasil ciptaan sepenuhnya oleh Yusry sendiri.
Sebagai lagu fokus utama, Jiwa & Raga membawakan susunan muzik balada moden yang berkisarkan tentang kesetiaan dan pengorbanan cinta. Hancur Kecewa pula merungkai rasa perit kehilangan dan proses mencari kekuatan untuk meneruskan hidup.

Selain itu, pendengar juga akan disajikan dengan lagu Pelengkap Hidup yang meraikan nilai kekeluargaan, Kasarnya Cinta (ujian dalam perhubungan), serta Kamu Harus Tahu yang menyentuh soal janji dan penyesalan.
Bagi memberikan sedikit kelainan, Yusry menutup tirai album dengan lagu pop segar berjudul Narsisistik, sebuah karya yang sinis mengupas realiti budaya media sosial masa kini dan obsesi masyarakat terhadap pengiktirafan imej.
Yusry menaruh harapan besar agar sekurang-kurangnya ada sebuah lagu daripada album Eternal ini yang dirasakan dekat dengan kisah hidup para pendengarnya, serta mampu menjadi peneman utuh dalam setiap fasa kehidupan mereka.
