BYON Combat Showbiz 7 Janji Aksi Tempur & Hiburan Bertaraf Dunia
- oleh Editor MYBUZZ
- 24 Apr 2026 8:18 pm
KUALA LUMPUR – Platform sukan tempur terkemuka dari Indonesia, BYON, bakal melakar sejarah dengan penganjuran sulung acara unggulnya, BYON COMBAT SHOWBIZ 7 di Malaysia. Bakal berlangsung pada 25 April 2026 di World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur, acara ini direalisasikan menerusi kerjasama strategik bersama penganjur tempatan, Kharisma Music International.
Kemasukan jenama BYON COMBAT SHOWBIZ 7 ke pasaran negara bukan sahaja menjanjikan aksi tumbukan dan tendangan yang mendebarkan, malah ia bakal mengubah landskap sukan tempur tempatan. Selari dengan identiti ‘showbiz’ yang dibawa, penganjuran ini memberikan pengalaman hiburan menyeluruh buat lebih 3,000 penonton yang disasarkan hadir. Ia merangkumi produksi visual bertaraf antarabangsa, sesi face-off, acara timbang berat (weigh-in), serta pelbagai aktiviti interaktif yang dirangka khas untuk menghidupkan keterujaan peminat.
Selain elemen hiburan berskala besar , pentas gelanggang pastinya menjanjikan aksi berintensiti tinggi yang melibatkan barisan petarung elit dari Malaysia dan Indonesia. Tumpuan utama pastinya terarah kepada aksi ulangan (rematch) antara Putra Abdullah dan Ronal Siahaan bagi merebut gelaran Byon Kickstriking Asia Title yang pertama dalam sejarah. Pertembungan terdahulu mereka berkesudahan dengan keputusan seri selepas lima pusingan berikutan terpaksa dihentikan akibat kecederaan.

Turut menghangatkan gelanggang adalah perebutan ICB International Belt antara juara bertahan, Nidal Mahmoud menentang pencabarnya, Adam Maulana. Peminat juga bakal disajikan dengan satu lagi aksi ulangan berprofil tinggi melibatkan Fahri Alamsyah menentang Kabilan Jelevan.
Tidak kurang hebatnya, pertembungan antara jaguh IFMA Malaysia, Ammarul Shafiq berdepan pakar ‘KO awal’ dari Indonesia, Haris Sofyan dijangka menyajikan aksi pantas dan agresif. Kategori wanita pula akan menampilkan perbezaan gaya pertarungan apabila petinju tanpa kalah Indonesia, Winona Karamoy turun menentang atlet Muay Thai berpengalaman negara, Emmabel Cassandra.
Ketua Pegawai Eksekutif Kharisma Music International, En. Ahmad Jeffny menyifatkan penganjuran ini sebagai satu platform penting untuk merapatkan jurang antara atlet serantau.
“Ini bukan sekadar acara sukan tempur, tetapi satu pengalaman hiburan bertaraf antarabangsa yang bakal membuka mata peminat tempatan terhadap evolusi baharu dalam industri ini,” ujarnya.
Bagi peminat yang tidak dapat hadir secara fizikal ke WTC, siaran langsung perlawanan ini boleh ditonton secara eksklusif menerusi penstriman Pay-Per-View (PPV) di platform Over-The-Top (OTT) rasmi, Vidio.
Tiket fizikal kini sudah mula dijual di laman sesawang tixr.com dengan tanda harga bermula dari RM75 hingga RM650. Manakala, akses PPV di aplikasi Vidio untuk pasaran Malaysia pula ditawarkan pada harga serendah RM17. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada saksi sejarah baharu industri sukan tempur dan hiburan rantau ini!
