Wali Band Gegar JB, Lebih 10,000 Peminat Sudah Sahkan Kehadiran
- oleh Editor MYBUZZ
- 11 Sep 2026 5:18 pm
KUALA LUMPUR – Bandar raya Johor Bahru bakal kembali bergegar dengan kehangatan konsert berskala besar apabila kumpulan popular Indonesia, Wali Band, memilih selatan tanah air sebagai destinasi menerusi konsert WALI LIVE IN JB pada 3 Oktober 2026.
Satu sidang media pemakluman konsert tersebut telah diadakan oleh pihak penganjur bersama pihak media di Royale Chulan Kuala lumpur pada 4 September lalu. Sidang media bersama anggota Wali Band telah berlansung secara atas talian.
Acara yang bakal menggegarkan EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri jam 8.00 malam itu membuktikan fenomena tersendiri apabila lebih 10,000 tiket dilaporkan sudah sah terjual, sekali gus menandakan kebangkitan semula scene konsert di Johor Bahru.

WALI LIVE IN JB satukan peminat Malaysia dan Singapura dalam satu malam penuh nostalgia.
Peminat Singapura Dominasi Tempahan Tiket
Penganjuran sulung Nusantara Live Entertainment dengan kerjasama Infinity Love Creative Ventures, Tourism Johor, serta EduCity Sports Complex ini pada mulanya disambut dengan rasa sedikit ragu-ragu oleh pihak penganjur.
Walau bagaimanapun, potensi JB sebagai pintu masuk utama selatan terbukti apabila jualan tiket mendapat sambutan luar biasa, terutamanya daripada peminat Singapura. Wakil penganjur Nusantara Live Entertainment, Muhammad Hafiz bin Abd Hamid dan Nur Liyana bt Abd Rahman mengakui terkejut dengan kehangatan respon yang diterima.

Lebih 10,000 tiket terjual, Wali Band buktikan Johor Bahru masih dahagakan konsert mega. – Penganjur Nusantara Live Entertainment, Muhammad Hafiz bin Abd Hamid.
“Alhamdulillah, rasa tidak percaya juga bila mendapat tahu tiket konsert ini sudah terjual 10,000 lebih dan kebanyakan yang membeli adalah peminat dari Singapura. Perkara ini memberikan kami keyakinan bahawa JB mempunyai potensi besar untuk terus menjadi lokasi pilihan bagi penganjuran konsert pada masa akan datang,” jelas mereka.
Sementara itu, wakil Infinity Love Creative Ventures, Mubarak Akhtar Mohd Aris, menyifatkan kolaborasi bersama pasukan baharu ini sebagai langkah positif untuk berkongsi kepakaran teknikal bagi memastikan pengurusan acara berjalan lancar dan berimpak tinggi.
Gandingan Nostalgia Wali Band & Najwa Latif
Pentas WALI LIVE IN JB bakal bertambah seri dengan kehadiran penyanyi popular tempatan, Najwa Latif, yang diundang khas sebagai penyanyi jemputan. Pelantun lagu Cinta Muka Buku dan Sahabat itu meluahkan rasa teruja kerana dapat berkongsi pentas dengan kumpulan yang lagunya menjadi peneman zaman pembesarannya.

Najwa Latif bakal berkongsi pentas dengan Wali Band pada 3 Oktober ini.
“Saya sendiri membesar dengan lagu-lagu Wali Band. Jadi apabila peluang ini datang dan kebetulan pula tarikh konsert itu agak cantik serta saya tidak mempunyai apa-apa komitmen, saya terus tidak fikir panjang untuk menerima tawaran ini,” kata Najwa.
Sepanjang lebih 25 tahun berkarya, Wali Band yang dibarisi Faank (vokal), Apoy (gitar/komposer), Tomi (dram), dan Ovie (keyboard) dikenali menerusi lirik santai serta melodi yang dekat dengan hati masyarakat.
Peminat pada malam itu bakal dihiburkan dengan susunan lagu-lagu hits seperti Cari Jodoh, Baik-Baik Sayang, Yank, Doaku Untukmu Sayang, Aku Bukan Bang Toyib, Nenekku Pahlawanku, dan Tobat Maksiat.
Suntikan Ekonomi & Pelancongan
Selain memberikan hiburan berkualiti, penganjuran konsert ini dijangka memberi limpahan ekonomi positif kepada sektor perhotelan, pengangkutan, serta perniagaan makanan tempatan menerusi kehadiran pengunjung luar negara dan luar Johor.

Bagi peminat yang tidak mahu melepaskan peluang merasai kehangatan konsert ini, tiket WALI LIVE IN JB boleh didapati menerusi platform MyTicket Asia (myticket.asia) pada harga RM88 (Cari Berkah – CAT 3), RM128 (Cari Jodoh – GA), RM128 (Emang Dasar – CAT 2), RM168 (Nenekku Pahlawanku – CAT 1), RM388 (Tomat – VIP), serta RM1,188 (Yank – Super VIP).
