KUALA LUMPUR — Universal Music Malaysia (UMMY) bersama rangkaian label dan rakan strategiknya muncul antara kuasa terbesar pada Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) apabila membawa pulang 13 kemenangan daripada 31 kategori kompetitif yang dipertandingkan.
Daripada jumlah berkenaan, 10 kemenangan diraih dalam 23 kategori utama manakala tiga lagi hadir menerusi kategori Pra-Anugerah, sekali gus meletakkan hampir separuh daripada keseluruhan trofi kompetitif AIM25 dalam ekosistem UMMY dan rakan kerjasamanya.
Antara nama paling menyerlah tentunya Datuk Seri Siti Nurhaliza yang pulang dengan empat kemenangan pada malam berkenaan.Penyanyi tersohor itu meraih Vokal Wanita Terbaik menerusi Kesuma, selain kemenangan bagi kategori Kolaborasi Artis/Penulis Lagu Tempatan Bersama Artis/Penulis Lagu Luar Negara Terbaik melalui Cenderamaya.

‘Pesanan Buat Diri’ bawa tuah, Siti Nurhaliza rangkul lagu terbaik AIM25.
Lebih manis, Pesanan Buat Diri mencipta kejayaan berganda apabila dinobatkan sebagai Lagu Tradisional Terbaik sebelum menutup malam dengan kemenangan kategori utama Lagu Terbaik.
Kemenangan Rentas Genre
Dominasi UMMY pada AIM25 tidak terhenti pada satu genre. Bila Sampai Waktu ciptaan Faizal Tahir dan Ezra Kong memenangi Lagu Rock Terbaik, manakala Tanya Tuhan oleh Yonnyboii dan Malique membawa pulang Lagu Rap/Hip Hop Terbaik.

Kemenangan Merentasi Genre Kukuhkan Kedudukan Universal Music Malaysia Di AIM25. Noh Salleh dan MC Syze ungguli kategori Lagu Perpaduan Terbaik.
Sementara itu, Matahari Malaya hasil ciptaan MC Syze, Noh Salleh dan Kidd Santhe pula dinobatkan sebagai Lagu Perpaduan Terbaik.
Dalam kategori Pra-Anugerah, Seni Berdamai Dengan Takdir turut menerima pengiktirafan sebagai Lagu Paling Tinggi Distrim, mencerminkan kekuatan karya berkenaan di platform digital.
Senarai penuh 13 Kemenangan UMMY & Rakan Strategik
- Vokal Wanita Terbaik — Kesuma, Datuk Seri Siti Nurhaliza
- Kolaborasi Artis/Penulis Lagu Tempatan Bersama Artis/Penulis Lagu Luar Negara Terbaik — Cenderamaya, Datuk Seri Siti Nurhaliza
- Lagu Tradisional Terbaik — Pesanan Buat Diri, Datuk Seri Siti Nurhaliza
- Lagu Terbaik — Pesanan Buat Diri, Datuk Seri Siti Nurhaliza
- Album Terbaik — [RE.HAB], Aisha Retno
- Lagu Inggeris Tempatan Terbaik — O.R.B.I.T, Aisha Retno
- Lagu Rock Terbaik — Bila Sampai Waktu, Faizal Tahir
- Lagu Rap/Hip Hop Terbaik — Tanya Tuhan, Yonnyboii & Malique
- Lagu India Tempatan Terbaik — Kadhal War, Buggimaan ft. Sri Vithya
- Lagu Perpaduan Terbaik — Matahari Malaya, MC Syze & Noh Salleh
- Kulit Single/Album Terbaik — Misompuru, Marsha Milan; rekaan Aidil Saleh
- Rakaman Album Terbaik — [RE.HAB], Aisha Retno; jurutera bunyi Jaydi & Seatravel
- Lagu Paling Tinggi Distrim — Seni Berdamai Dengan Takdir, Naim Daniel & Adnin Roslan

Ella terima Anugerah Sri Wirama, Universal Music Malaysia berjaya bawa pulang 13 Trofi AIM25.
Ella Terima Sri Wirama
Turut menjadi antara detik penting AIM25 ialah pengiktirafan kepada legenda rock negara, Ella, yang menerima Anugerah Sri Wirama. Penghormatan khas itu diberikan atas sumbangan, pencapaian dan pengaruh beliau sepanjang perjalanan panjang dalam industri muzik tempatan.
Anugerah Sri Wirama berkenaan merupakan pengiktirafan khas dan tidak termasuk dalam 31 kategori kompetitif AIM25.
Bagi Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim, pencapaian berkenaan bukan semata-mata mengenai jumlah trofi, sebaliknya menggambarkan hasil kerja kolektif artis, komposer, penerbit, pemuzik serta pasukan di sebalik setiap karya.
Beliau turut melihat kemenangan daripada pelbagai genre dan bahasa sebagai gambaran keluasan muzik Malaysia, selain membuktikan bagaimana kerjasama antara syarikat rakaman, label tempatan dan komuniti kreatif mampu memperkukuh ekosistem industri.
Legasi Ella Kekal Relevan
Pengarah Kanan A&R dan Pengurusan Artis Universal Music Malaysia, Hermond Cheng, pula menyifatkan pengiktirafan terhadap Ella sebagai sesuatu yang cukup bermakna selepas hampir empat dekad penyanyi itu berada dalam industri.
Menurutnya, kekuatan katalog muzik Ella yang terus diterima sehingga hari ini menjadi bukti bahawa legasi penyanyi berkenaan masih relevan merentas generasi.
Dengan 13 kemenangan kompetitif serta pengiktirafan Sri Wirama kepada Ella, AIM25 menjadi satu malam besar buat Universal Music Malaysia dan rangkaian rakan strategiknya — selain memperlihatkan kekuatan muzik tempatan yang semakin luas daripada tradisional, rock dan hip hop hinggalah karya berorientasikan perpaduan serta digital.

