Tourism Malaysia, Serai Group Lancar Kempen “Truly Malaysian, Truly Sedap” Sempena VM2026
- oleh Editor MYBUZZ
- 13 May 2026 12:36 pm
KUALA LUMPUR – Sektor pelancongan negara terus menunjukkan momentum positif apabila Malaysia berjaya merekodkan ketibaan seramai 10.6 juta pelawat antarabangsa pada suku pertama tahun 2026. Angka ini mencatatkan peningkatan sebanyak 5.4 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
Bagi mengekalkan lonjakan ini sempena Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026), Tourism Malaysia kini giat memperhebatkan promosi pelancongan dengan menjadikan segmen gastronomi sebagai daya tarikan utama. Menerusi kerjasama strategik bersama Serai Group, agensi tersebut secara rasmi telah melancarkan kempen “Truly Malaysian, Truly Sedap”, semalam.

(Kiri-kanan) Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Encik Mohd Amirul Rizal bin Abdul Rahim bersama Pengarah Urusan, Serai Group, Ybhg. Datuk Mohd Najib Abdul Hamid menyempurnakan pelancaran Kempen “Truly Malaysian, Truly Sedap” yang dijangka merancakkan lagi VM2026 sekaligus memperkukuhkan Malaysia sebagai destinasi gastronomi unggul.
Kempen ini digerakkan dengan matlamat untuk memartabatkan warisan kulinari Malaysia sebagai identiti negara, sejajar dengan tema VM2026 iaitu “Malaysia: Destinasi Lestari dan Kaya Budaya”. Bagi memikat selera pelawat tempatan mahupun antarabangsa, kempen tersebut mempertaruhkan dua menu ikonik.
Menu pertama adalah sate, sebuah hidangan yang telah pun mendapat pengiktirafan dalam Senarai Warisan Kebangsaan 2009, yang kini dihidangkan dengan sentuhan autentik bersama kuah kacang istimewa Serai Group. Turut menjadi pertaruhan adalah Durian ‘Shake’, iaitu olahan moden dan premium berasaskan ‘Raja Buah’.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Encik Mohd Amirul Rizal bin Abdul Rahim menegaskan bahawa inisiatif gastronomi ini adalah langkah penting bagi meletakkan Malaysia sebagai destinasi kulinari yang unggul.
“Inisiatif seperti ini menyokong usaha Tourism Malaysia dalam mempelbagaikan produk pelancongan, khususnya dalam segmen gastronomi, di samping memperkukuh daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama,” jelas beliau.
Sate dan Durian ‘Shake’ diangkat jadi duta kempen “Truly Malaysian, Truly Sedap”, tarik pelancong antarabangsa
Dalam pada itu, Pengarah Kumpulan Serai, Puan Rina Abdullah turut menyifatkan perkongsian sajian tempatan sebagai jambatan untuk mengenali budaya negara dengan lebih dekat.
“Makanan merupakan antara medium paling berkesan untuk merasai pengalaman unik di Malaysia. Menerusi setiap suapan, anda dapat merasai kemesraan, kepelbagaian, dan keunikan negara,” kata beliau.
Majlis pelancaran kempen yang diadakan di Seri Negara ini bukan sekadar majlis biasa, sebaliknya ia diserikan dengan acara demonstrasi membakar sate secara langsung dan persembahan kebudayaan tempatan. Acara tersebut berjaya menyatukan pihak media, rakan strategik, dan orang ramai dalam sebuah pengalaman kulinari yang bermakna.
Bagi memeriahkan lagi kempen “Truly Malaysian, Truly Sedap” ini, orang ramai dan para pelancong berpeluang untuk merasai sendiri hidangan istimewa sate dan Durian Shake di kesemua cawangan restoran Serai bermula 12 Mei sehingga 31 Disember 2026.
Kredit: FB Tourism Malaysia Corporate


