Ikuti Kami:

Tourism Malaysia Raikan Ketibaan Pelawat Sempena Kaamatan & Gawai di Tiga Lapangan Terbang Utama

Tourism Malaysia Raikan Ketibaan Pelawat Sempena Kaamatan & Gawai di Tiga Lapangan Terbang Utama

KUALA LUMPUR: Semarak Pesta Kaamatan dan Hari Gawai kini memeriahkan lagi fasa pelaksanaan Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026) apabila Tourism Malaysia menganjurkan sambutan khas bagi meraikan ketibaan pelawat domestik dan antarabangsa di tiga lapangan terbang antarabangsa utama negara.

Siri sambutan tersebut dijadualkan berlangsung secara berperingkat bermula di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (Terminal 1) pada 30 Mei 2026, diikuti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA T1) pada 31 Mei 2026, dan berakhir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada 1 Jun 2026.

Majlis keraian yang diadakan di KLIA Terminal 1 telah dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, YBhg. Dato’ Shaharuddin Abu Sohot; pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia, YBrs. Encik Wizani Rosmin; serta Presiden Persatuan Hotel Malaysia, YBhg. Datin Christina Toh. Turut serta ialah pengurusan tertinggi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Tourism Malaysia, wakil Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), pihak syarikat penerbangan, serta penggiat industri pelancongan tempatan.

Tourism Malaysia Raikan Ketibaan Pelawat Sempena Kaamatan & Gawai di Tiga Lapangan Terbang Utama

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, YBhg. Dato’ Shaharuddin Abu Sohot menyempurnakan majlis perasmian sambutan khas pelawat domestik dan antarabangsa sempena Pesta Kaamatan dan Hari Gawai di Terminal 1, KLIA

 

Program ini direncanakan khas untuk mengetengahkan keunikan budaya serta tradisi masyarakat Sabah dan Sarawak yang menjadi antara komponen utama tarikan pelancongan negara seiring dengan matlamat VM2026.

Para pelawat yang mendarat di balai ketibaan bukan sahaja disambut dengan senyuman mesra, malah turut dihadiahkan cenderamata istimewa serta berpeluang merasai juadah tradisional popular, dodol, yang diangkat sebagai simbol kehangatan hospitaliti rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Usaha memperkukuh pengalaman ketibaan pelawat ini dijayakan menerusi kerjasama strategik rapat antara Tourism Malaysia, MOTAC berserta agensi di bawahnya, dan MAHB.

Melihat kepada keunikan Hari Kaamatan di Sabah yang disambut pada 30 Mei dan Hari Gawai di Sarawak pada 2 Jun, Tourism Malaysia turut mengambil peluang melancarkan program Mega Familiarisation (Mega Fam).

Tourism Malaysia Raikan Ketibaan Pelawat Sempena Kaamatan & Gawai di Tiga Lapangan Terbang Utama

Tourism Malaysia menganjurkan sambutan khas bagi meraikan ketibaan pelawat domestik dan antarabangsa di tiga lapangan terbang antarabangsa utama negara. (Dua dari kiri) Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, YBhg. Dato’ Shaharuddin Abu Sohot.

 

Program berdurasi lapan hari bermula 29 Mei hingga 5 Jun 2026 ini membawa seramai 15 orang wakil media dan pempengaruh digital dari rantau Asia Tenggara, Asia Timur, serta Asia Selatan termasuk dari Filipina, Vietnam, China, Korea Selatan, dan India. Kesemua pengamal media ini dibawa melawat kedua-dua negeri berkenaan untuk merasai sendiri pengalaman dan mendokumentasikan keunikan warisan perayaan tersebut, sekali gus mengukuhkan posisi Malaysia sebagai destinasi pelancongan budaya yang dinamik.

Langkah agresif mempromosikan warisan budaya tempatan ini membuahkan hasil yang memberangsangkan. Berdasarkan statistik terbaharu sehingga Mac 2026, Malaysia berjaya merekodkan sebanyak 10.6 juta ketibaan pelawat antarabangsa. Angka tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 5.4 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2025 yang mencatatkan 10.1 juta ketibaan.

Prestasi positif ini mencerminkan momentum pasaran yang kukuh sempena VM2026 yang turut menekankan komitmen negara terhadap pembangunan pelancongan mampan yang sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDGs). Melalui pengisian aktiviti berteraskan budaya, Tourism Malaysia optimis dapat terus memperkasakan profil pelancongan negara di pentas dunia selain memacu pertumbuhan ekonomi inklusif buat komuniti setempat.

Loading...