Ikuti Kami:

JBPM Perkukuh Nilai Pengorbanan Melalui Program Korban Kasih Aidiladha 2026

JBPM Perkukuh Nilai Pengorbanan Melalui Program Korban Kasih Aidiladha 2026

CYBERJAYA: Semangat keperwiraan dan kesediaan mempertaruhkan nyawa demi tugas sememangnya sudah sebati dengan warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). Mengambil keberkatan sambutan Hari Raya Aidiladha bagi tahun ini, sifat keprihatinan tersebut diterjemahkan pula menerusi aktiviti kemasyarakatan yang menyentuh hati.

Menerusi Program Korban Kasih Bersama Warga Bomba Tahun 2026 yang berlangsung di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya, sebanyak 45 ekor lembu telah dikorbankan hasil sumbangan dan penyertaan padu warga kementerian, jabatan serta agensi di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Majlis murni tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri KPKT, YBhg. Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu dengan diiringi Ketua Setiausaha KPKT, YBhg. Datuk Wira Dr. M. Nor Azman bin Taib serta Ketua Pengarah JBPM, YAS Dato’ Sri Ts. Nor Hisham bin Mohammad.

JBPM Perkukuh Nilai Pengorbanan Melalui Program Korban Kasih Aidiladha 2026

Timbalan Menteri KPKT, YBhg. Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu turut serta dalam aktiviti melapah dading lembu korban bersama-sama dengan anggota bomba yang bertugas pada Program Korban Kasih Aidiladha 2026 yang berlansung di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya.

 

Suasana di perkarangan BBP Cyberjaya riuh dengan semangat kekeluargaan apabila dianggarkan seramai 500 petugas berkumpul seawal jam 8.00 pagi. Mereka saling bergandg bahu, mengerah keringat bermula daripada proses penyembelihan, melapah, hinggalah kepada pembungkusan dan pengagihan daging.

Ibadah korban kali ini bukan sahaja berjaya berjalan dengan lancar, malah ia menjadi platform terbaik dalam mengeratkan hubungan silaturrahim serta mengukuhkan lagi ukhuwah sesama warga KPKT dan JBPM.

Sifat keprihatinan sosial terus menjadi tunjang utama program ini apabila sebahagian besar hasil korban tersebut diagihkan kepada golongan yang memerlukan.

JBPM Perkukuh Nilai Pengorbanan Melalui Program Korban Kasih Aidiladha 2026

Timbalan Menteri KPKT, YBhg. Datuk Hajah Aiman Athirah, sempat beramah mesra bersama sebahagian dari 500 warga JBPM yang bergotong-royong, menjayakan Program Korban Kasih di Cyberjaya

 

Selain diberikan kepada para peserta, petugas media, serta warga JBPM dan kementerian, edaran daging korban tersebut turut melibatkan seramai 2,500 penerima manfaat termasuk golongan asnaf di sekitar kawasan Parlimen P113 Sepang. Langkah ini sekali gus menyemarakkan lagi nilai kebajikan dan memastikan golongan kurang bernasib baik tidak dipinggirkan ketika musim perayaan.

Penganjuran Program Korban Kasih ini secara tidak langsung memberikan penghayatan yang mendalam mengenai erti keikhlasan, kebersamaan, dan pengorbanan yang menjadi teras utama Aidiladha.

Dalam konteks perkhidmatan JBPM, nilai pengorbanan bukanlah sesuatu yang asing. Sifat tersebut amat dekat dengan tugas hakiki anggota bomba yang saban hari bersiap sedia menggadaikan keselamatan diri demi menyelamatkan nyawa serta harta benda masyarakat tanpa mengira waktu. Nilai murni dan kental inilah yang terus menjadi azimat serta kekuatan utama bagi setiap warga JBPM dalam menabur bakti kepada rakyat dan negara tercinta.

Loading...