Ikuti Kami:

Tak Puas Hanya Trilogi! M. Nasir Lengkapkan Legasi Menerusi Konsert ‘DATO’ M.N47IR CIPTA 4’

Tak Puas Hanya Trilogi! M. Nasir Lengkapkan Legasi Menerusi Konsert ‘DATO’ M.N47IR CIPTA 4’

Majlis sidang media Konsert DATO’ M.N47IR CIPTA 4 mencipta sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya diadakan diatas koc Ekspress Rakyat yang disewa khas, membawa delegasi media, penaja dan penganjur ke Ipoh semalam. 

 

KUALA LUMPUR – Siapa sangka trilogi fenomena Konsert Cipta rupanya masih belum berakhir! Buat peminat setia legenda muzik tanah air, Datuk M. Nasir, bersedialah untuk melengkapkan pengembaraan seni beliau menerusi konsert berskala besar terbaharu yang dinamakan DATO’ M.N47IR CIPTA 4.

Konsert yang dijangka mencipta satu lagi sejarah epik dalam industri muzik tempatan ini dijadualkan berlangsung pada 4 Julai 2026, jam 8.30 malam bertempat di Unifi Arena Kuala Lumpur. Acara berprestij ini dibawakan khas oleh penganjur terkenal yang sama, Icon Entertainment.

Penganjuran siri Cipta 1, Cipta 2, Cipta 3, dan edisi istimewa Cipta Raya sebelum ini nyata telah melakar sejarah yang tersendiri. Ia secara tidak langsung mengukuhkan lagi penjenamaan nama M. Nasir yang cukup ikonik dengan makna ‘cipta’ itu sendiri—membawa maksud daya fikir kreatif dalam menerbitkan sesuatu yang baharu dan unik.

Tak Puas Hanya Trilogi! M. Nasir Lengkapkan Legasi Menerusi Konsert DATO’ M.N47IR CIPTA 4

Pengarah Urusan Icon Entertainment, Iman Tang menjelaskan bahawa penganjuran CIPTA 4 adalah satu keperluan demi memastikan ratusan karya agung ciptaan maestro seni itu diangkat dan dihayati dengan sepenuhnya.

“Jika ada yang berasa sudah cukup dengan penganjuran trilogi Cipta, percayalah Cipta 4 akan memberi dimensi dan nikmat tersendiri,” ujar Iman penuh yakin.

Beliau turut berpesan agar peminat menyimpan wang untuk hadir, kerana nikmat pengalaman tersebut mungkin tidak akan dapat dirasai lagi dalam tempoh yang sangat panjang. Menurut Iman lagi, sejak dari awal perbincangan penganjuran konsert ini, mereka sememangnya telah merancang untuk membahagikannya kepada beberapa konsep di bawah satu jenama besar.

 

Tak Puas Hanya Trilogi! M. Nasir Lengkapkan Legasi Menerusi Konsert DATO’ M.N47IR CIPTA 4

Penyanyi dan komposer terkenal Indonesia, Melly Goeslaw telah mengesahkan tempat sebagai antara selebriti jemputan yang akan menjayakan Konsert DATO’ M.N47IR CIPTA 4 yang bakal berlansung di Unifi Arena, Bukit Jalil pada Julai nanti.

 

Konsert ini bakal menjadi medan sejarah dan kelangsungan (kesinambungan) buat penonton untuk menikmati magis ciptaan M. Nasir, sama ada lagu yang dinyanyikan sendiri mahupun lagu ciptaan beliau untuk penyanyi lain.

Malah, pihak penganjur turut memberi bayangan bahawa siri ini mungkin akan mempunyai kesinambungan lagi selepas edisi keempat! Bagi sifu berusia 68 tahun itu, pesanannya ringkas namun cukup mendalam,

“Datang dan lengkapkan keraian trilogi Cipta dengan DATO’ M.N47IR CIPTA 4. Kita akan mencipta sejarah untuk masa depan,” tegas Dato’ M. Nasir.

Mengekalkan tradisi yang unik seperti tiga edisi terdahulu, peminat yang hadir diwajibkan untuk mematuhi tema pakaian yang telah ditetapkan, iaitu elemen batik (Batik Injection). Kerjasama dan semangat daripada para peminat untuk memeriahkan tema ini sudah pasti akan menjadikan suasana di Unifi Arena nanti lebih bermakna dan mempesonakan.

Tak Puas Hanya Trilogi! M. Nasir Lengkapkan Legasi Menerusi Konsert DATO’ M.N47IR CIPTA 4

Bagi yang tidak mahu terlepas detik bersejarah ini, jualan tiket akan dibuka bermula pada hari Jumaat, 24 April 2026 tepat jam 11.00 pagi. Menariknya, kesemua kategori tiket yang ditawarkan adalah berbentuk tempat duduk (seated), memberikan keselesaan kepada penonton untuk menikmati keseluruhan persembahan dengan lebih santai dan teratur.

Tiket-tiket dijual mengikut kategori dan harga seperti berikut: RM238 bagi Mentera Semerah Padi, RM338 untuk Sekuntum Bunga Di Gurun Sahara, serta RM458 bagi kategori Andainya Aku Pergi Dulu.
Selain itu, peminat juga boleh mendapatkan tiket pada harga RM488 untuk Mahligai Syahdu, RM528 bagi Sentuhan Kecundang, dan kategori tertinggi Cinta Kristal yang ditawarkan pada harga RM588.

Pembelian tiket Konsert DATO’ M.N47IR CIPTA 4 boleh dibuat secara eksklusif menerusi laman web rasmi www.ticket2u.com.my. Jangan lepaskan peluang untuk sama-sama menjadi sebahagian daripada sejarah agung industri muzik negara!

Loading...