Ikuti Kami:

“Semarak Syawal” Perkasa Ekonomi Komuniti, Satukan Usahawan Malaysia–Indonesia

“Semarak Syawal” Perkasa Ekonomi Komuniti, Satukan Usahawan Malaysia–Indonesia

KUALA LUMPUR – Suasana Ramadan tahun ini dijangka lebih meriah dengan penganjuran program “Semarak Syawal” yang berlangsung dari 15 Februari hingga 18 Mac 2026 di KL Gateway Mall. Program ini dianjurkan oleh Pertubuhan Pusat Perpaduan Global Malaysia Kuala Lumpur (MYGUCKL) dengan kerjasama Persatuan Karyawan Malaysia sebagai usaha memperkasa usahawan tempatan dan menyemarakkan semangat kebersamaan sepanjang bulan penuh keberkatan.

Menurut Dato’ Freddie Fernandez, Karyawan terlibat dalam program seumpama ini diharapkan dapat memberikan pendedahan kepada penggiat seni dalam bidang keusahawanan dan sekaligus menjana pendapatan mereka melalui penjualan barangan atau produk makanan.

Program berkonsepkan bazar Ramadan ini menghimpunkan lebih 20 vendor terpilih yang menawarkan pelbagai juadah berbuka puasa, kuih-muih tradisional, fesyen raya, aksesori, produk kesihatan serta barangan keperluan Ramadan dan Syawal. Menariknya, penganjuran kali ini turut melibatkan kolaborasi usahawan tempatan bersama delegasi Indonesia, sekali gus membuka ruang jaringan perniagaan rentas sempadan.

Menurut Pengarah Program, Ariff Fadli Abd Wahab, “Semarak Syawal bukan sekadar platform jualan, malah menjadi medium memperkasakan ekosistem keusahawanan tempatan di samping memupuk perpaduan komuniti sepanjang Ramadan.”

Selain aktiviti jualan, pelbagai program pengisian turut diatur termasuk iftar bersama anak-anak yatim, penyerahan naskhah al-Quran, cabutan bertuah mingguan, sesi bertemu artis, program Iftar Jamaie serta agihan Bakul Ramadan kepada golongan memerlukan.

Majlis perasmian pembukaan telah dihadiri antaranya oleh Dato’ Freddie Fernandez mewakili Persatuan Karyawan Malaysia, Ts. Dr. Siti Saidatul Azween dari Majlis Pimpinan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta wakil Indonesia, Ibu Merda Nelly Hasan sebagai Ketua Kumpulan Andalan Nahdliyin UMKM Indonesia DKI Jakarta (NU)

Acara kemuncak iaitu majlis perasmian rasmi akan disempurnakan oleh Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, selaku Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai pada 21 Februari 2026.

Penganjur menjangkakan kehadiran lebih 30,000 pengunjung sepanjang tempoh penganjuran, sekali gus memberi impak positif terhadap trafik pengunjung pusat beli-belah serta peningkatan jualan vendor. Program ini juga dilihat sebagai platform penyatuan seni, budaya dan keusahawanan bersempena kempen Visit Malaysia Year 2026.

Pihak penganjur turut membuka peluang kerjasama strategik dan penajaan korporat kepada syarikat yang berminat menyertai inisiatif Ramadan ini melalui platform promosi, aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan pendedahan jenama kepada komuniti setempat.

Loading...