Terkini

Resepsi “Wedding Of The Year”: Syed Saddiq & Bella Astillah Himpunkan 3,000 Tetamu

Oleh

Resepsi “Wedding Of The Year”: Syed Saddiq & Bella Astillah Himpunkan 3,000 Tetamu

KUALA LUMPUR – Suasana gemilang dan penuh emosi menyelubungi Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) semalam apabila majlis resepsi perkahwinan antara Ahli Parlimen Muar, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dan suri hatinya, selebriti popular Bella Astillah, berlangsung dengan meriah sekali bagi menghimpunkan kira-kira 3,000 tetamu. Himpunan “Wedding of the Year” ini turut merangkumi barisan pemimpin negara, tokoh kenamaan VVIP, selebriti terkemuka, serta ahli keluarga terdekat.

Pasangan mempelai tampil anggun dan memukau pandangan tetamu menerusi dua persalinan berbeza, di mana penampilan pertama menyaksikan kedua-dua mempelai menyarungkan busana haute couture eksklusif rekaan pereka tersohor negara, Rizalman Ibrahim. Manakala bagi persalinan kedua, YB Syed Saddiq tampan menggayakan busana daripada Hijabistahub dan Bella pula menyinar anggun dalam rekaan Alia Bastamam.

Majlis gilang-gemilang ini disempurnakan lagi dengan sentuhan kreatif agensi pengurusan acara terkenal, Reka Teemor, manakala suasana dewan dihiburkan dengan persembahan orkestra istimewa daripada Dato’ Mokhzani bersama kumpulan ensembel beliau (DM & String Ensemble).

Tumpuan malam tersebut turut dihiasi detik penuh emosi apabila YB Syed Saddiq mengambil kesempatan menyampaikan ucapan bagi mempertahankan isterinya daripada sebarang persepsi negatif atau kecaman warganet di media sosial. Sambil memegang mikrofon dengan penuh bersemangat di hadapan para tetamu, beliau menegaskan di atas pentas,

“Saya mahu mempertahankan isteri saya malam ini. Mungkin kalian tidak tahu, Bella seawal usia lima tahun sudah menyertai pertandingan Bintang Kecil RTM… Ketika saya berada di menara gading menyambung pelajaran, Bella sudah bergelar seorang ibu yang luar biasa mendidik anak-anaknya.” Beliau turut menambah dengan penuh ketegasan,

“Saya tidak selamatkan Bella. Bella selamatkan diri sendiri. Dia seorang yang kuat dan berdikari tanpa saya pun, dan saya cumalah pelengkap hidupnya.” Kata-kata menyentuh hati itu turut mencuri tumpuan ramai dalam dewan mahupun warga maya, di mana Bella yang berdiri di sisi suaminya kelihatan sebak mengesat air mata manakala para tetamu memberikan tepukan gemuruh.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan Biduanita Negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor dan diserikan dengan persembahan zapin.

Majlis resepsi berskala besar ini turut menyerikan kedatangan barisan kepimpinan tertinggi negara dan tetamu kehormat (VVIP), antaranya termasuklah Tan Sri Ariff Yusoff (Bekas Speaker Dewan Rakyat), YB Dato’ Seri Fadhlina Sidek (Menteri Pendidikan), Datuk Seri Dr. Zulkifli Hasan ( Menteri di JPM – Hal Ehwal Agama), YB Steven Sim, YB Dato’ Seri Fahmi Fadzil, serta barisan menteri kabinet yang lain, ketua setiausaha negara, dan perwakilan asing.

Selepas kejayaan majlis gilang-gemilang di MITEC ini, pasangan sama cantik sama padan ini dijadualkan meneruskan siri jelajah perkahwinan mereka menerusi konsep “Kenduri Rakyat” di kampung halaman masing-masing.

, , ,

Verified by MonsterInsights