Rahsia Silam Penghancur Bahagia? Drama Provokatif ‘Amira Amir’ Bongkar Harga Sebuah Kejujuran
- oleh Editor MYBUZZ
- 25 Feb 2026 3:14 pm
KUALA LUMPUR – Dunia hiburan tanah air bakal dikejutkan dengan kehadiran sebuah naskhah drama sosial yang penuh provokasi menerusi filem terbaharu terbitan Astro Shaw berjudul Amira Amir. Membawa tagline yang cukup mendalam, ‘Setiap Rahsia Ada Harganya’, filem ini dijadualkan menemui penonton secara eksklusif di pawagam rumah anda menerusi Astro First bermula 26 Februari 2026.
Naskhah arahan Reen Emran ini bukan sekadar sebuah drama cinta biasa, malah ia mengupas persoalan besar tentang pengorbanan yang sanggup dilakukan demi cinta dan maruah apabila rahsia masa lalu mula terbongkar.

Amira Amir mempertaruhkan barisan pelakon hebat seperti Zahiril Adzim, Sophia Albarakbah, Fezrul Khan, Zarynn Min, dan Kartina Aziz. Plot ceritanya berpusat kepada watak Ziyad yang mengahwini isterinya, Amira, atas dasar cinta pandang pertama tanpa menyelidiki latar belakang wanita itu dengan lebih mendalam.
Namun, tembok kepercayaan yang dibina mula runtuh apabila satu kebenaran besar terungkap, sekali gus mengubah prinsip hidup Ziyad serta persepsinya terhadap ikatan perkahwinan yang selama ini dianggap suci. Filem ini bukan sekadar memaparkan konflik rumah tangga, tetapi turut menerokai realiti menyembunyikan identiti yang bertentangan dengan norma sosial dan moral masyarakat.

Menurut Raja Jastina Raja Arshad, selaku Penerbit Eksekutif dan Ketua Astro Shaw, naskhah ini dihasilkan untuk memberikan pengalaman tontonan yang intim agar penonton dapat berbincang secara terbuka mengenai isu kejujuran identiti yang semakin kerap berlaku dalam realiti kehidupan. Beliau juga berharap agar tayangan yang jatuh pada bulan Ramadan ini dapat memberi inspirasi dan ruang refleksi kepada penonton dalam mendepani situasi mencabar yang serupa.

Melengkapkan lagi perjalanan emosi filem ini adalah lagu tema bertajuk ‘Hati Yang Tak Terbalas’ yang dinyanyikan oleh vokal berkuasa, Marsha Milan. Selaras dengan pesanan Ramadan Astro tahun ini, ‘Bila Bersama Lagi Jadi’, penonton boleh menikmati filem ini berulang kali dalam tempoh 48 jam bersama keluarga dengan harga hanya RM15 di platform Astro dan sooka.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan drama yang menyentuh jiwa ini dan ikuti perkembangan terkini menerusi saluran media sosial rasmi Astro First.
