Ikuti Kami:

Konsert “For You Nourul” Ditangguh! Tarikh Baharu 30 Mei Sasar Kualiti Maksimum & Kelapangan Poket Peminat

Konsert “For You Nourul” Ditangguh! Tarikh Baharu 30 Mei Sasar Kualiti Maksimum & Kelapangan Poket Peminat

KUALA LUMPUR – Buat peminat setia penyanyi bersuara lantang, Nourul, ada sedikit berita yang mungkin mengundang rasa ralat pada mulanya namun pasti ada hikmah yang lebih baik. Konsert sulung yang menandakan perjalanan lebih tiga dekad beliau dalam industri, iaitu konsert “For You Nourul” yang sepatutnya berlangsung pada 17 April 2026, kini telah dijadualkan semula.

Jangan bimbang, acara penuh bermakna ini akan tetap diteruskan dengan tarikh baharu yang rasmi ditetapkan pada 30 Mei 2026. Menurut wakil pihak penganjur baharu, ND Entertainment, keputusan penjadualan semula tarikh ini telah dibuat selepas perbincangan teliti bersama pihak Nourul.

Konsert For You Nourul Ditangguh! Tarikh Baharu 30 Mei Sasar Kualiti Maksimum & Kelapangan Poket Peminat

Pertimbangan utama ini diambil bagi menghormati dan memberi laluan kepada dua perayaan besar umat Islam, iaitu sambutan Aidilfitri dan Aidiladha. Malah, pemilihan tarikh penghujung bulan Mei itu dilihat sangat relevan bagi memberi ruang kepada peminat untuk menyusun semula kewangan dan bajet mereka selepas berbelanja sakan pada musim perayaan.

Pihak penganjur berhasrat agar konsert ini menjadi hari keraian khas dalam suasana yang jauh lebih selesa dan meriah buat semua yang hadir.

Bagi empunya badan sendiri, penyanyi berusia 49 tahun yang mesra disapa Nourul (atau nama sebenarnya Noorulhuda Binti Ab. Wahab), penangguhan ini memberi kelebihan besar kepada perancangan produksi dan barisan artis jemputan.

Penyanyi yang cukup sinonim dengan lagu hits Kerana Terluka ini mendedahkan bahawa perubahan tarikh ini juga dicapai demi menyusun semula jadual perjalanan konsert, terutamanya selepas berlakunya transisi pertukaran pengurusan daripada penganjur lama kepada syarikat miliknya sendiri. Beliau kekal optimis bahawa persembahan solonya ini bakal menjadi momen terindah dan mendapat sambutan hangat daripada para peminat yang telah lama merinduinya.

Konsert For You Nourul Ditangguh! Tarikh Baharu 30 Mei Sasar Kualiti Maksimum & Kelapangan Poket Peminat

Oleh itu, jangan lepaskan peluang untuk hadir ke konsert “For You Nourul” yang akan dilangsungkan bertempat di Zepp Kuala Lumpur pada 30 Mei 2026, bermula tepat jam 8.00 malam. Walaupun tarikh telah dikemas kini, jualan tiket masih diteruskan mengikut beberapa kategori harga yang telah ditetapkan.

Tiket-tiket ini dijual bermula pada harga RM198 untuk kategori Sehati Sejiwa , RM298 bagi Cinta Azali , RM328 untuk Keliru , RM388 bagi Kerana Terluka , serta RM6,000 untuk kategori eksklusif VIP Box. Kesemua kategori tiket ini boleh dibeli menerusi laman sesawang rasmi Ticket2u.

Loading...