PRU Johor Ke-16: Barisan Nasional Menang Besar, Raih 48 Kerusi Dewan Negeri
- oleh Editor MYBUZZ
- 12 Jul 2026 6:36 am
KKUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor Ke-16 apabila berjaya memenangi 48 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan.
Berdasarkan keputusan rasmi yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Pakatan Harapan (PH) pula memenangi baki lapan kerusi Dewan Negeri.
Pengerusi SPR, Dato’ Sri Ramlan bin Dato’ Harun, berkata proses pilihan raya berlangsung dengan bebas, adil dan telus mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.
Menurut beliau, seramai 1,874,918 pengundi atau 68.73 peratus daripada jumlah pemilih berdaftar telah menunaikan tanggungjawab mereka pada PRU kali ini. Jumlah tersebut merangkumi pengundi awal, pengundi pos dan pengundi biasa yang mengundi pada Sabtu, 11 Julai 2026.
“Secara keseluruhannya, SPR berpuas hati dengan proses pengundian yang berlangsung pada 11 Julai 2026 dan pengundi berdaftar telah dapat menunaikan hak serta tanggungjawab mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa tiada sebarang insiden yang boleh menjejaskan kelancaran proses pilihan raya sepanjang tempoh pengundian dan pengiraan undi.
SPR turut menegaskan komitmennya untuk terus memastikan setiap urusan pilihan raya dikendalikan secara profesional, telus dan mematuhi segala undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut dan keputusan penuh PRU Dewan Negeri Johor Ke-16 boleh membuat semakan melalui portal rasmi SPR di dashboard.spr.gov.my atau menerusi aplikasi MySPR Semak.
