Ikuti Kami:

Anwar Ibrahim Ucap Tahniah Kepada Barisan Nasional, Kerajaan Persekutuan Kekal Komited Perkasa Pembangunan Johor

Anwar Ibrahim Ucap Tahniah Kepada Barisan Nasional, Kerajaan Persekutuan Kekal Komited Perkasa Pembangunan Johor

Foto Sumber: FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kemenangan dan mandat yang diberikan rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.

Beliau berharap amanah besar yang telah diberikan oleh rakyat itu dapat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab demi memastikan kemajuan negeri serta kesejahteraan seluruh rakyat Johor.

Menurut Anwar, proses pilihan raya di Johor kini telah berakhir dan tiba masanya untuk semua pihak mengetepikan perbezaan politik serta memberi tumpuan kepada usaha membangunkan negeri. Beliau menegaskan bahawa keutamaan kini adalah melaksanakan amanah dan berkhidmat kepada rakyat bagi membina Johor yang lebih makmur, maju dan sejahtera.

Dalam masa yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pengundi yang telah menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara dengan menyertai proses demokrasi. Ucapan terima kasih turut dizahirkan kepada semua petugas dan jentera pilihan raya yang telah bertungkus-lumus sepanjang tempoh berkempen sehingga hari pengundian.

Menyentuh mengenai Pakatan Harapan (PH), Perdana Menteri menegaskan bahawa gabungan itu akan terus berpegang teguh kepada komitmen untuk berkhidmat kepada rakyat. Beliau menyeru semua calon HARAPAN, sama ada yang berjaya memenangi kerusi atau sebaliknya, agar terus mendekati masyarakat, membawa suara rakyat dan memberikan perkhidmatan terbaik di kawasan masing-masing.

Mengakhiri kenyataannya, Anwar memberi jaminan bahawa Kerajaan Persekutuan akan terus komited memastikan agenda pembangunan Johor berjalan lancar. Beliau berkata segala usaha akan dipergiat bagi memperkukuh pembangunan negeri serta meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat Johor dari semasa ke semasa, Insya-Allah.

Sumber Kenyataan Media: FB Anwar Ibrahim

Loading...