PM Anwar Lancar TVET 2.0, Lulus Dana RM50 Juta Untuk Lahir Pekerja Mahir
- oleh Editor MYBUZZ
- 6 Jun 2026 11:44 am
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini telah menyempurnakan Sambutan Hari TVET Negara 2026 di Dataran Putrajaya serta melancarkan inisiatif terbaharu, TVET 2.0. Inisiatif ini merupakan satu evolusi baharu dalam pembangunan bakat negara yang direka agar sistem latihan kemahiran menjadi lebih responsif, fleksibel, dan berpaksikan kepada keperluan industri serta arus ekonomi masa hadapan.
Sebagai tanda sokongan penuh, Perdana Menteri turut mengumumkan kesediaan kerajaan untuk membenarkan penggunaan dana sehingga RM50 juta daripada Dana Program Berimpak Tinggi di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi menyokong kelancaran pelaksanaan awal TVET 2.0.
Dalam ucapan perasmiannya, Anwar menegaskan bahawa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya ia merupakan laluan utama dalam agenda pembangunan bakat negara. Beliau menyatakan platform ini semakin mendapat keyakinan masyarakat dalam melahirkan barisan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi.
Malah, beliau turut menyifatkan ekosistem TVET di Malaysia pada hari ini telah menjadi antara penanda aras utama di peringkat ASEAN hasil komitmen jitu dan berterusan yang dipamerkan oleh kerajaan.

Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi (kiri) serta Menteri Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari (kanan) menyempurnakan perasmian Hari TVET Negara 2026.
Pelaksanaan TVET 2.0 membawa nafas baharu dalam pembangunan bakat negara dengan memperkenalkan pendekatan yang lebih dinamik dan berpaksikan keperluan industri masa hadapan. Inisiatif ini dirangka bagi memastikan tenaga kerja Malaysia sentiasa kekal relevan, berdaya saing dan bersedia menghadapi perubahan teknologi serta landskap ekonomi global yang semakin mencabar.
Antara teras utama TVET 2.0 adalah penekanan terhadap pembelajaran berasaskan industri dan persekitaran tempat kerja. Pendekatan ini memberi peluang kepada pelajar untuk memperoleh pengalaman praktikal secara langsung, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka sebaik sahaja menamatkan latihan. Selain itu, pendidikan TVET turut diperluaskan sebagai satu perjalanan pembelajaran sepanjang hayat, membolehkan individu terus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mengikut keperluan semasa.
TVET 2.0 juga memberi fokus kepada usaha meningkatkan kemahiran pekerja sedia ada ke tahap yang lebih tinggi melalui program upskilling dan reskilling. Langkah ini penting bagi memastikan tenaga kerja tempatan mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan industri serta teknologi baharu. Dalam masa yang sama, pendekatan ini turut disokong oleh sinergi pembiayaan bersama antara kerajaan dan pemain industri, yang akan memperkukuh pelaksanaan program latihan serta memastikan ia kekal relevan dengan kehendak pasaran.
Bagi memperkukuh lagi kebolehpasaran graduan, Perdana Menteri mengumumkan bahawa badan-badan penyelidikan kerajaan akan turut membuka pintu kepada pelajar TVET yang terpilih untuk menjalani latihan. Inisiatif ini dijangka dapat meningkatkan kompetensi, memberi pendedahan kepada teknologi terkini, dan seterusnya memperkukuh daya saing graduan di pasaran kerja.
Sambutan Hari TVET Negara 2026 yang membawa tema “TVET Pilihan Utama Kerjaya” ini sedang berlangsung dari 5 hingga 7 Jun 2026 bertempat di Dataran Putrajaya. Acara berskala besar ini menjadi platform nasional yang menghimpunkan agensi kerajaan, institusi TVET awam dan swasta, pihak industri, usahawan, serta masyarakat bagi meningkatkan kesedaran mengenai peranan besar TVET sebagai penggerak modal insan dan ekonomi negara. Dengan pelancaran ini, Malaysia optimis untuk membina sebuah ekosistem TVET yang lebih dinamik dan berpaksikan industri bagi mendepani cabaran ekonomi global.
