Ikuti Kami:

Penangan ‘Cari Jodoh’! Baru Buka Jualan, 50 Peratus Tiket Konsert Wali Band Di JB ‘Licin’ Dalam Dua Jam

Penangan ‘Cari Jodoh’! Baru Buka Jualan, 50 Peratus Tiket Konsert Wali Band Di JB ‘Licin’ Dalam Dua Jam

KUALA LUMPUR – Aura dan populariti kumpulan terkenal dari seberang, Wali Band di Malaysia nampaknya masih kebal dan langsung tidak luntur dek zaman. Buktinya, sebaik sahaja jualan tiket dibuka semalam, sebanyak 50 peratus tiket bagi konsert Wali Live In JB telah ‘lesap’ disambar peminat dalam tempoh hanya dua jam!

Fenomena luar biasa ini membuktikan betapa besarnya pengaruh band muzik yang berasal dari Tangerang, Indonesia itu, sementelah mereka kini sedang rancak meneruskan siri jelajah di Malaysia.

Selepas berjaya memukau ribuan peminat di Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur, Wali Band bakal melabuhkan tirai penjelajahan mereka menerusi konsert berskala besar di EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri, Johor Bahru pada 3 Oktober 2026 jam 8.00 malam.

Penangan 'Cari Jodoh'! Baru Buka Jualan, 50 Peratus Tiket Konsert Wali Band Di JB 'Licin' Dalam Dua Jam

Seperti Jelajah Khas Di Malaysia

Bagi Wali Band yang dianggotai oleh Faank (vokalis), Apoy (gitar/komposer), Tomi (dram) dan Ovie (keyboard), sambutan hangat ini adalah satu bentuk penghargaan yang cukup bermakna. Apatah lagi, usia penglibatan mereka dalam arena seni sudah pun melepasi 25 tahun.

Menurut vokalisnya, Faank, siri persembahan mereka di Malaysia kali ini terasa sangat istimewa, persis sebuah jelajah yang dikhususkan buat peminat setia mereka di sini.

“Alhamdulillah, setiap kali kami datang ke Malaysia, sambutannya sentiasa luar biasa. Kali ini terasa lebih istimewa kerana kami seperti sedang mengadakan jelajah di Malaysia.

“Apa yang membuatkan kami sentiasa rindu untuk kembali adalah semangat peminat di Malaysia. Mereka bukan sekadar datang menonton, tetapi menyanyi bersama kami dari lagu pertama hingga lagu terakhir. Itulah momen yang paling kami hargai sebagai pemuzik,” jelas Faank yang turut menjanjikan beberapa kejutan istimewa dan malam penuh nostalgia buat penonton di Johor Bahru kelak.

Karya-karya malar segar mereka seperti Cari Jodoh, Baik-Baik Sayang, Yank, dan Aku Bukan Bang Toyib pasti akan bergema di selatan tanah air, membawa penonton mengimbau kembali deretan memori indah.

Penangan 'Cari Jodoh'! Baru Buka Jualan, 50 Peratus Tiket Konsert Wali Band Di JB 'Licin' Dalam Dua Jam

Lokasi Strategik, Tarik Peminat Tiga Negara

Pemilihan Johor Bahru sebagai destinasi penutup jelajah bukanlah satu keputusan semberono. Konsert anjuran bersama Nusantara Live Entertainment dan Infinity Love Creative Ventures ini melihat JB sebagai lubuk strategik.

Wakil penganjur, Nur Liyana Abdul Rahman dan Shasha Samsudin menjelaskan bahawa lokasi tersebut amat ideal untuk menghimpunkan peminat dari tiga negara serantau.

“Johor Bahru merupakan lokasi yang sangat strategik kerana berada di pintu masuk selatan Semenanjung Malaysia, bersempadan dengan Singapura dan berhampiran Batam, Indonesia. Kedudukan ini membolehkan peminat dari Malaysia, Singapura dan Indonesia berkumpul di satu lokasi untuk menikmati sebuah konsert bertaraf antarabangsa,” jelas Liyana.

Lokasi EduCity Sports Complex juga diyakini mampu menampung kapasiti ribuan penonton, sekaligus merancakkan lagi sektor pelancongan dan ekonomi di Johor. Bagi anda yang belum mendapatkan tiket, baik cepat sebelum ia habis disapu licin!

Tiket konsert Wali Live In JB dijual pada harga RM88 (Cari Berkah – CAT 3), RM128 (Cari Jodoh – GA), RM128 (Emang Dasar – CAT 2), RM168 (Nenekku Pahlawan – CAT 1), RM388 (Tomat – VIP) dan RM1188 (Yank – Super VIP).

Pembelian boleh dibuat dengan melayari laman web rasmi di pautan: https://myticket.asia/events/wali-live-in-jb/?occurrence=2026-10-03.

Loading...