MATTA Connect 2026 Jadi Pentas Strategik Pacu Pertumbuhan Pelancongan Rantau ASEAN
- oleh Editor MYBUZZ
- 13 Jul 2026 3:55 pm
KUALA LUMPUR – Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) mengumumkan kepulangan MATTA Connect 2026, pasaran pelancongan Business-to-Business (B2B) terkemuka Malaysia yang bakal berlangsung pada 29 hingga 30 Julai ini di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), Perak.
Penganjuran edisi kedua ini tampil lebih signifikan dengan pengesahan kehadiran Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Yang Berhormat Dato Sri Tiong King Sing sebagai Tetamu Kehormat yang akan menyampaikan ucapan utama pada Majlis Makan Malam Penutup pada 30 Julai nanti. Kehadiran beliau sekali gus memperkukuh komitmen berterusan kerajaan dalam memantapkan industri pelancongan negara menerusi kerjasama erat bersama sektor swasta.
Presiden MATTA, Nigel Wong berkata, penganjuran MATTA Connect telah berjaya membuktikan keberkesanannya sebagai platform penting bagi usahawan pelancongan, pembeli, dan rakan destinasi untuk menjalinkan kolaborasi bermakna serta membuka peluang perniagaan baharu. Edisi kali ini disasarkan untuk menghimpunkan pembeli, penjual, dan pemegang taruh industri dari seluruh Malaysia serta rantau ASEAN bagi membina rangkaian perniagaan, promosi destinasi, dan perkongsian strategik.
Sepanjang program dua hari itu, para delegasi akan terlibat dalam sesi pemadanan perniagaan B2B berstruktur, Forum Perniagaan, pembentangan destinasi, serta peluang jalinan rangkaian yang direka khas bagi memfasilitasi penglibatan perniagaan berkualiti tinggi. Ini melibatkan penyertaan daripada pembeli antarabangsa, pembekal pelancongan, syarikat pengurusan destinasi (DMC), syarikat penerbangan, rangkaian hotel, dan penyedia perkhidmatan pengembaraan.
Kepentingan acara ini di peringkat serantau turut diperkukuh dengan kehadiran Persatuan Pelancongan ASEAN (ASEANTA) yang bakal menghimpunkan pemimpin pelancongan dari seluruh Asia Tenggara, sekali gus membuka ruang tambahan kepada pembangunan perniagaan rentas sempadan.
Sebagai persediaan sebelum acara utama, sekumpulan pembeli antarabangsa terpilih akan menyertai Program Pra-Jelajah eksklusif selama 5 hari 4 malam bermula 24 hingga 28 Julai ini. Program ini memberi peluang kepada mereka merasai sendiri pengalaman melawat tarikan ikonik di Perak termasuk bandar raya Ipoh, Kuala Kangsar, Tapak Warisan Dunia UNESCO Lembah Lenggong, dan Hutan Simpan Royal Belum bagi membolehkan mereka mempromosikan destinasi tempatan dengan lebih berkesan ke pasaran global.
Selain itu, Forum Perniagaan yang disediakan bakal membincangkan pelbagai topik kritikal termasuk trend pelancongan baharu, transformasi digital, inovasi, serta peluang pasaran semasa.
Penganjuran MATTA Connect 2026 mendapat sokongan padu daripada Tourism Perak bersama rakan destinasi seperti Penang Global Tourism dan Pejabat Pelancongan Kerajaan Macau (MGTO). RHB Bank Berhad bertindak sebagai Rakan Bank Rasmi, manakala Spritzer EcoPark Sdn Bhd dan Hup Seng Hoon Yong Brothers Sdn Bhd sebagai rakan sokongan, di samping kerjasama erat daripada deretan hotel terkemuka di Perak.
Pengerusi Penganjur MATTA Connect 2026, Ken Chong menyifatkan acara ini bukan sekadar platform pemadanan perniagaan semata-mata, sebaliknya menjadi ruang untuk industri pelancongan saling berhubung, bekerjasama, dan berkembang maju bersama. Pendaftaran bagi menyertai pasaran pelancongan B2B ini masih dibuka sehingga 18 Julai 2026 menerusi laman web rasmi www.mattaconnect.com.
