Mamat Kembali Memukau! Lebih 250 Peminat ‘Sing Along’ Dalam Showcase Intim ‘Mamat Mekar’
- oleh Editor MYBUZZ
- 14 Feb 2026 5:21 pm
KUALA LUMPUR – Kerinduan peminat terhadap kelunakan vokal unik penyanyi legenda, Mamat, akhirnya terubat apabila beliau kembali beraksi memukau pentas menerusi showcase solo istimewa bertajuk ‘Mamat Mekar’ yang berlangsung di IDEAS Hotel, malam semalam.
Acara anjuran Mekar Management itu dihadiri lebih 250 penyokong setia yang tidak melepaskan peluang untuk mengubat rindu terhadap penyanyi yang cukup sinonim dengan lagu-lagu ‘tangkap leleh’ era 90-an. Tepat jam 9.00 malam, Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamarudin, 48, membuai emosi penonton dengan persembahan 10 buah lagu hitnya. Antara seleksi lagu yang bergema termasuklah Dewi Sukma, Janji Padaku, Mama Aku Ingin Pulang, Jalan Seiringan, Rahsia Pohon Cemara, dan pastinya lagu malar segar yang cukup ikonik, Untukmu Ibu.
Menurut pengurusnya, Azlina Abdul Aziz, acara tersebut dirancang secara ‘bidang terjun’ hasil sokongan kuat peminat tegar di media sosial. Lebih penting, ia menjadi penanda aras atau ‘pemangkin’ bagi membuktikan bahawa Mamat kini sudah bersedia sepenuhnya untuk kembali merancakkan industri muzik tanah air secara solo.
“Kami mahu tunjukkan yang Mamat sudah kembali dan bersedia untuk bekerja semula,” jelas Azlina. Beliau turut mengesahkan bahawa keadaan penyanyi itu kini amat sihat dan berada di bawah jagaan rapi pihak pengurusan selepas melalui fasa pemulihan di Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih).

Berkongsi perancangan masa depan, Azlina mendedahkan pihak pengurusan sedang meneliti peluang untuk merakamkan semula beberapa lagu hits lama Mamat dan kumpulan Exists dengan nafas serta susunan muzik yang baharu. Namun, proses tersebut bergantung kepada penyelesaian aspek hak cipta terlebih dahulu.
Meskipun kini mahu membina penjenamaan baharu sebagai ‘Mamat Hakal’ dan fokus kepada kerjaya solo, beliau tidak melupakan akar umbinya. Mamat disahkan akan tetap menyertai konsert reunion bersama kumpulan asalnya, Exists, yang dijadualkan berlangsung di Axiata Arena pada bulan Jun, disusuli persembahan di Pulau Pinang pada Oktober akan datang.
Malam penuh nostalgia itu diakhiri dengan sesi ramah mesra (meet and greet) yang menyaksikan peminat tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat dan sokongan moral kepada penyanyi kesayangan mereka itu.
