Ikuti Kami:

Live Nation Malaysia Lancar KL Headline Season 2026 Lonjak KL Jadi Destinasi Konsert Wajib di Asia

Live Nation Malaysia Lancar KL Headline Season 2026 Lonjak KL Jadi Destinasi Konsert Wajib di Asia

Kuala Lumpur muncul sebagai hab muzik langsung Asia dengan pelancaran KL Headline Season 2026

 

KUALA LUMPUR – Ibu negara, Kuala Lumpur kini secara rasmi memantapkan kedudukannya sebagai antara destinasi wajib singgah bagi siri jelajah muzik antarabangsa terkemuka di Asia. Langkah progresif ini direalisasikan menerusi pelancaran inisiatif hiburan secara langsung berskala besar, KL Headline Season 2026.

Program mega ini merupakan hasil kolaborasi strategik antara syarikat penganjur acara terkemuka, Live Nation Malaysia bersama PR Worldwide, Tourism Malaysia, dan syarikat telekomunikasi CelcomDigi. Menerusi inisiatif ini, Kuala Lumpur dijadualkan bakal menjadi tuan rumah kepada 25 persembahan muzik bertaraf dunia sepanjang tahun 2026, yang akan berlangsung di enam venue utama di sekitar ibu kota.

Inisiatif KL Headline Season 2026 dijangka mampu menarik kehadiran lebih 500,000 peminat muzik, bukan sahaja dari dalam negara malah dari seluruh rantau Asia Tenggara. Impak penganjuran ini dilihat sangat bertepatan dengan aspirasi negara sempena kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026), yang mensasarkan lonjakan ekonomi menerusi sektor pelancongan berasaskan acara hiburan eksklusif.

Live Nation Malaysia Lonjak KL Jadi Destinasi Konsert Wajib di Asia

Live Nation Malaysia lancar KL Headline Season 2026 menampilkan 25 konsert global yang telah dan yang akan berlansung di Kuala Lumpur sehingga penghujung tahun 2026. – Ilustrasi janaan AI

 

Kuala Lumpur kini membuktikan keupayaannya daripada segi infrastruktur bertaraf dunia apabila sedia menerima penganjuran konsert dalam pelbagai skala—daripada persembahan intim di teater hinggalah kepada konsert berskala mega di stadium.

Paling mencuri tumpuan sudah pastinya barisan artis gred-A global yang telah disahkan bakal beraksi di pentas Kuala Lumpur. Peminat seni tanah air bakal dihidangkan dengan variasi genre muzik sepanjang tahun ini. Nama-nama besar seperti LANY, Laufey, Bryan Adams, DAY6, TREASURE dan Daniel Caesar telah disahkan akan mengadakan persembahan.

Lebih mengujakan, konsert berskala stadium menampilkan ikon antarabangsa seperti Post Malone, The Weeknd serta fenomena K-pop dunia, BTS, turut dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional, sekali gus membuktikan kemampuan Kuala Lumpur menganjurkan acara bertaraf mega.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Puan Hannah Yeoh, menyifatkan inisiatif ini sebagai pemacu penting dalam memperkasakan sektor pelancongan negara. Menurut beliau, penganjuran konsert dan acara besar bukan sahaja menarik pelancong antarabangsa, malah menyumbang kepada pertumbuhan ekosistem ekonomi yang lebih luas.

Live Nation Malaysia Lonjak KL Jadi Destinasi Konsert Wajib di Asia

Pengarah Urusan Live Nation Malaysia, Paramananthan Rajagopal

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Live Nation Malaysia, Paramananthan Rajagopal menegaskan bahawa inisiatif ini bertujuan membina momentum berterusan dalam industri muzik tempatan. Beliau percaya KL Headline Season mampu menghubungkan peminat dengan artis kegemaran mereka serta mengukuhkan Kuala Lumpur sebagai destinasi tetap dalam peta jelajah muzik Asia.

Bagi memastikan peminat tidak terlepas peluang menyaksikan persembahan artis kegemaran mereka, pihak penganjur telah menyusun kalender acara yang padat dengan barisan konsert antarabangsa sepanjang tahun ini. Siri persembahan ini bermula seawal Mei dengan kehadiran BUS di Zepp KL pada 19 Mei, diikuti Vir Das pada 23 Mei di Plenary Hall, KL Convention Centre.

Suasana muzik akan terus hangat dengan persembahan Daniel Caesar selama tiga hari berturut-turut dari 24 hingga 26 Mei di Idea Live Arena, sebelum kumpulan K-pop popular TREASURE mengambil alih pentas di Unifi Arena pada 30 Mei. Tidak ketinggalan, Anson Seabra akan beraksi pada 31 Mei di Zepp KL, manakala Laufey dijadualkan membuat persembahan pada 2 Jun di Unifi Arena.

Memasuki separuh tahun kedua, momentum diteruskan dengan kemunculan Kodaline pada 26 Ogos di Idea Live Arena. Seterusnya, pentas muzik tanah air bakal memuncak ke tahap lebih besar apabila konsert berskala stadium mengambil alih acara. Post Malone dijadualkan menggegarkan Stadium Nasional pada 27 September, diikuti LANY yang akan beraksi di Unifi Arena pada 1 November.

Tidak lama kemudian, The Weeknd bakal menghiburkan peminat selama dua malam berturut-turut pada 4 dan 5 November di Stadium Nasional. Kemuncaknya, fenomena global BTS akan menutup tirai tahun dengan dua persembahan mega pada 12 dan 13 Disember di lokasi yang sama.

Dengan barisan artis bertaraf dunia serta perancangan acara yang tersusun rapi, Kuala Lumpur kini berada di landasan tepat untuk muncul sebagai destinasi konsert utama di rantau Asia. Kombinasi penganjuran bertaraf antarabangsa dan kemudahan infrastruktur moden dilihat mampu meletakkan ibu negara sebaris dengan kota-kota besar lain dalam industri hiburan global. Sehubungan itu, peminat dinasihatkan untuk sentiasa mendapatkan maklumat terkini mengenai penjualan tiket melalui saluran rasmi bagi mengelakkan sebarang penipuan.

Gambar: Live Nation Malaysia and PR Worldwide

Loading...