Lepas Gian Selepas 10 Tahun, Erma Fatima Kembali Ke Kerusi Pengarah, Satukan Bintang Gergasi Nusantara?
- oleh Editor MYBUZZ
- 17 Feb 2026 12:08 am
PETALING JAYA – Selepas sedekad berehat daripada dunia pengarahan, penerbit dan pelakon disegani, Erma Fatima, kembali mencuri tumpuan ramai apabila memberi bayangan yang beliau kini sudah kembali duduk di kerusi pengarah.
Bayangan tersebut dikongsikan sendiri oleh pemilik nama sebenar Fatimah Rahmad Ali ini menerusi beberapa untaian foto di laman Instagram miliknya. Hantaran itu memaparkan aksi beliau di sebuah set penggambaran yang dipercayai untuk satu projek kerjasama istimewa berskala besar antara Malaysia dan Indonesia.
Menyertakan audio lagu kerohanian Wahai Pemilik Jiwa dendangan Opick, pengarah berusia 58 tahun itu meluahkan rasa rindu terhadap dunia di belakang tabir.
“Lama tak rasa macam ini,” tulis Erma ringkas di ruangan kapsyen.

Ketika dihubungi oleh pihak media, pengarah berkaliber itu mengakui penglibatannya dalam projek terbaharu ini hanyalah sekadar untuk melepaskan kerinduan setelah sekian lama tidak turun ke lapangan.
“Lepas gian selepas 10 tahun tak direct (mengarah). Saja suka-suka, setakat ini tak tahu lagi mana nak tayang,” ujarnya ringkas.

Walaupun belum ada butiran terperinci mengenai platform tayangan projek tersebut, apa yang pasti naskhah ini naskhah ini menampilkan gabungan mantap dari kedua-dua buah negara, membariskan pelakon handalan Malaysia seperti Datin Seri Umie Aida, Vanidah Imran, Puteri Sarah, dan pelakon jelita Anna Jobling, yang bakal bergandingan hebat bersama bintang-bintang popular Indonesia termasuk aktor berkaliber Lukman Sardi, Bima Samudra, Elina Joerg, serta Valentino.

Untuk rekod, Erma Fatima yang pernah merangkul trofi Pengarah Terbaik pada Festival Filem Antarabangsa Pyongyang ke-7 itu kali terakhir mengarahkan karya menerusi telefilem Pesan Dari Tuhan. Naskhah hebat tersebut pernah dinobatkan sebagai Drama Terbaik di Anugerah Skrin pada tahun 2017.
