Lebih Tiga Dekad Mencurah Bakti, Suhaimi Sulaiman Dinobatkan Penerima Anugerah HAWANA 2026
- oleh Editor MYBUZZ
- 20 Jun 2026 7:00 pm
BUTTERWORTH – Tokoh penyiaran veteran, Datuk Suhaimi Sulaiman, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 atas sumbangan luar biasa dan komitmen berterusan beliau dalam memartabatkan industri media negara selama lebih tiga dekad.
Anugerah prestij itu disampaikan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam majlis kemuncak sambutan HAWANA 2026 yang berlangsung di PICCA @ Arena Butterworth Convention Centre, di sini hari ini.
Turut hadir menyaksikan penganugerahan tersebut ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, serta Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Datuk Seri Wong Chun Wai.
Suhaimi, 64, yang pernah menyandang pelbagai jawatan pengurusan tertinggi industri termasuk Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia (RTM), Pengerusi BERNAMA, dan Ketua Pegawai Eksekutif TVS. Beliau menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai satu amanah besar untuk terus menabur bakti.
“Pengiktirafan ini sangat besar ertinya bagi saya yang menganggap diri ini masih dalam proses pembelajaran. Sebagai orang media, kita tidak boleh berhenti belajar, terutamanya dalam mendepani era kecerdasan buatan (AI) yang menuntut penguasaan ilmu baharu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut.
Mengulas mengenai asakan teknologi kecerdasan buatan dalam bilik berita moden, bekas personaliti televisyen ikonik itu menegaskan bahawa elemen manusiawi dalam kewartawanan tidak akan dapat digantikan oleh mesin. Beliau sempat berkongsi analogi ringkas namun mendalam mengenai peranan AI.
“AI ini diibaratkan seperti sebuah mesin pengisar makanan (blender). Kita boleh masukkan bahan-bahan terbaik ke dalamnya, tetapi jika kita sendiri tidak tahu memasak, hidangan itu tetap tidak akan menjadi. AI hanyalah alat bantu, namun intipati utamanya tetap bersandarkan kepada keupayaan kita sebagai pencerita (storyteller) yang hebat,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Suhaimi turut menitipkan pesanan kepada generasi baharu pengamal media agar sentiasa mempertahankan integriti dan mengekalkan prinsip kebenaran di tengah-tengah lambakan maklumat tidak sahih di media sosial.
Beliau optimis bahawa masyarakat hari ini semakin matang dalam menilai kredibiliti sesebuah laporan berita.
“Sangat penting untuk wartawan bersikap jujur dan benar. Walaupun kita berdepan dengan tsunami berita palsu (fake news), pembaca sekarang sudah bijak. Mereka tetap akan kembali dan merujuk kepada media-media arus perdana yang sahih serta berwibawa untuk mendapatkan kebenaran,” katanya lagi.
Sepanjang kerjayanya, Suhaimi bukan sahaja dikenali sebagai pengendali bilik berita yang berkaliber, malah beliau aktif melatih ribuan pengamal media dan pegawai komunikasi strategik di peringkat kebangsaan dan ASEAN, selain mendokumentasikan pengalamannya menerusi buku “I Hate Reading the Teleprompter: My 25 Years in Broadcasting”.
Anugerah HAWANA merupakan pengiktirafan tertinggi negara kepada pengamal media yang memamerkan kecemerlangan profesionalisme, impak sosial yang tinggi, serta sumbangan berterusan dalam membentuk landskap maklumat yang sihat di Malaysia.
