Ikuti Kami:

60,000 Kandungan Video Tak Menipu! “Gila Bayang” Bukti Aura Ammar Haikal

60,000 Kandungan Video Tak Menipu! “Gila Bayang” Bukti Aura Ammar Haikal

SUNGAI BULOH: Angka 60,000 kandungan video di aplikasi TikTok sememangnya tidak menipu! Begitulah fenomena luar biasa yang dicetuskan oleh pendatang baharu industri muzik, Ammar Haikal menerusi single debutnya berjudul Gila Bayang, waima sebelum ia dilancarkan secara rasmi.

Menariknya, gelombang tular ciptaan pengguna media sosial itu menjadi bukti kukuh akan aura serta potensi besar yang dimiliki oleh Juara XO CAMP! Musim pertama ini untuk mencuri hati pendengar.

Langkah kanan Ammar dalam arena seni suara tempatan ini dimeterai secara rasmi kelmarin dalam sebuah majlis pelancaran eksklusif yang bertempat di XO House Sdn. Bhd., malam semalam.

60,000 Kandungan Video Tak Menipu! “Gila Bayang” Bukti Aura Ammar Haikal

Dari juara XO CAMP! Ke artis rakaman, Ammar Haikal perkenal “Gila Bayang”

 

Mengukuhkan lagi nilai ‘scoop’ naskhah ini, peminat pastinya teruja apabila muzik video (MV) Gila Bayang turut menampilkan bapa kandung Ammar sendiri, iaitu penyanyi popular era 90-an, Ameng Spring (Wan Aminuddin bin Wan Ismail).

Gabungan istimewa dua beranak ini, ditambah pula dengan penampilan penyanyi dan personaliti media sosial, Alyssa Dezek selaku teraju utama, menjanjikan daya tarikan visual yang kuat dalam melengkapkan jalan cerita.

Dari sudut material, Gila Bayang mempertaruhkan elemen pop moden yang menterjemahkan emosi duka mengenai cinta tidak kesampaian serta perasaan terperangkap dalam bayangan seseorang yang sukar dilupakan. Ia membawa pendengar menelusuri kekecewaan seorang kekasih yang menyedari dirinya bukan satu-satunya pilihan biarpun telah menyimpan harapan untuk membina masa depan bersama.

60,000 Kandungan Video Tak Menipu! “Gila Bayang” Bukti Aura Ammar Haikal

Belum lancar dah meletup! “Gila Bayang” Ammar Haikal tawan TikTok.

 

Lagu ini merupakan hasil sentuhan mantap kolaborasi komposer dan penulis lirik Naim Daniel, Adib Hamdi, dan Amir Firdaus, manakala susunan dan produksi muziknya dikemudi oleh Adib Hamdi bersama Amir Firdaus.

Teruja dengan penerimaan awal yang di luar jangkaan, Ammar berharap momentum tersebut berterusan.

“Saya sangat teruja dengan pelancaran single pertama ini dan berharap para peminat dapat menerima Gila Bayang dengan baik. Terima kasih atas segala sokongan, saya harap semua terus mendengar serta menstrim lagu ini,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas XO House, Adib Hamdi, meluahkan rasa bangga melihat evolusi Ammar daripada seorang peserta program pencarian bakat anjuran mereka sehingga bergelar artis rakaman.

“Ini merupakan antara matlamat utama kami di XO House, iaitu melahirkan generasi baharu bakat tempatan dan memberi peluang membina kerjaya dalam industri. Ammar adalah sebahagian daripada legasi generasi baharu kami, dan kami berharap karya ini menjadi permulaan yang baik untuknya,” katanya.

Naskhah Gila Bayang terbitan XO House Publishing ini sudah boleh distrim dan didengari di semua platform penstriman digital sejak 19 Jun 2026.

Loading...