Ikuti Kami:

KUSKOP Peruntuk Lebih RM220 Juta Bantu Usahawan India Perkasa PMKS

KUSKOP Peruntuk Lebih RM220 Juta Bantu Usahawan India Perkasa PMKS

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperuntukkan lebih RM220 juta menerusi pakej Modal Usahawan dan Rangsangan Ekonomi India (MUDRA) bagi memperkukuh ekosistem Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta koperasi milik masyarakat India di Malaysia.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak RM60 juta berbanding kira-kira RM160 juta yang telah disalurkan pada tahun 2025 kepada PMKS dalam kalangan masyarakat India. Perkara ini diumumkan dalam siaran media rasmi KUSKOP.

Menurut beliau, peningkatan itu dibuat susulan sambutan positif terhadap pelbagai skim pembiayaan yang diperkenalkan sebelum ini, sekali gus membuktikan keperluan berterusan dalam membantu usahawan masyarakat India mengembangkan perniagaan mereka.

“Inisiatif ini bukan sekadar bantuan kewangan jangka pendek, malah merupakan langkah strategik untuk meningkatkan daya saing PMKS masyarakat India dalam memastikan kelangsungan operasi perniagaan menghadapi ketidaktentuan ekonomi global,” katanya.

Pelaksanaan MUDRA akan disalurkan menerusi lima agensi utama di bawah KUSKOP iaitu TEKUN Nasional, Bank Rakyat, SME Bank, Amanah Ikhtiar Malaysia serta Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Antara program utama yang menerima peruntukan terbesar ialah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) di bawah TEKUN Nasional sebanyak RM120 juta, diikuti Skim Pembiayaan Vanigham oleh SME Bank sebanyak RM50 juta serta Dana Program Pemerkasaan Usahawan Wanita India (PENN) oleh Amanah Ikhtiar Malaysia bernilai RM27 juta.

Selain itu, Bank Rakyat turut menyediakan Skim Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) bernilai RM15 juta, manakala Suruhanjaya Koperasi Malaysia memperuntukkan RM11 juta melalui Bakti MADANI dan Tabung Modal Pusingan SKM.

Sehingga 31 Mac 2026, pelaksanaan inisiatif ini telah menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila sebanyak RM33.48 juta dana telah diluluskan, sekali gus memberi manfaat langsung kepada 1,805 usahawan masyarakat India di seluruh negara.

KUSKOP menegaskan komitmen kementerian untuk terus membina ekosistem keusahawanan yang inklusif dan mampan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, selain memastikan golongan usahawan daripada semua lapisan masyarakat mendapat peluang yang adil untuk berkembang.

Langkah ini dilihat mampu menjadi pemangkin penting dalam memperkasa komuniti usahawan India serta merangsang pertumbuhan ekonomi negara secara menyeluruh.

Loading...