Kudeta MARGA & Sengketa Lama: Treler ‘TARUNG: Unforgiven’ Beri Bayangan Aksi Paling Epik Tahun Ini!
- oleh Editor MYBUZZ
- 12 Apr 2026 3:52 pm
KUALA LUMPUR – Selepas perkongsian ‘first look’ yang tular dan mencetuskan fenomena di media sosial, filem aksi paling dinantikan tahun ini, TARUNG: Unforgiven, kini mengorak langkah lebih agresif. Kemunculan treler rasminya hari ini pantas menghangatkan industri perfileman tempatan dengan menjanjikan babak pertarungan yang bukan sahaja kejam, malah sarat dengan emosi dan air mata.
Bakal menggegarkan pawagam seluruh negara bermula 7 Mei ini, filem arahan sutradara berkaliber, Razaisyam Rashid ini meletakkan standard baharu untuk genre aksi tempatan.
Menerusi treler berdurasi 1 minit 45 saat itu, penonton terus diheret ke dalam dunia gelap organisasi elit bernama MARGA. Babak pembukaan yang memaparkan perebutan takhta kuasa jelas menunjukkan filem ini tidak akan berkompromi dari segi penceritaan yang berat dan penuh tipu daya.
Namun, kemuncak yang paling mencuri tumpuan semestinya pertembungan fizikal dan emosi di antara dua watak utama, Hatta (lakonan Mierul Aiman) dan Isa (Aedy Ashraf). Koreografi pertarungan yang disajikan kelihatan cukup realistik, pantas, dan mendebarkan, membuktikan naskhah ini bukan sekadar filem aksi kosong, sebaliknya didorong oleh mesej mendalam tentang harga sebuah kesilapan dan peluang penebusan dosa.
TARUNG: Unforgiven membawa kisah tragis seorang bekas juara silat yang hidupnya dihantui oleh bayang-bayang dosa silam selepas satu tragedi yang meragut segala-galanya.
Dalam usaha terdesak untuk menyelamatkan nyawa kakaknya, dia terpaksa membuang prinsip dan melangkah masuk ke dalam kancah gelanggang pertarungan haram yang brutal. Tanpa disedari, takdir mengatur pertemuan yang cukup kejam apabila lawan yang menantinya di hujung pertarungan adalah individu yang paling rapat dengan dirinya suatu ketika dahulu.

Selain Mierul Aiman dan Aedy Ashraf, TARUNG: Unforgiven turut menampilkan barisan “raksasa” industri lakonan tempatan yang memperkukuhkan lagi kekuatan naskhah ini. Kehadiran pelakon-pelakon berpengalaman dan popular menjadikan filem ini antara karya yang paling dinanti, dengan gabungan bakat daripada pelbagai generasi.
Bagi barisan pelakon lelaki, filem ini dibintangi oleh nama-nama besar seperti Zul Ariffin, Bront Palarae, Amir Ahnaf dan Aeril Zafrel. Turut menyertai adalah Ikmal Amry, Ubai Amir, Sky Iskandar, Theebaan G, Shaharuddin Thamby, Razib Salimin serta Jai JMT, masing-masing membawa karakter dan kekuatan tersendiri yang menjanjikan dinamika lakonan yang mantap.
Sementara itu, watak-watak wanita pula digalas oleh Azira Shafinaz dan Sharifah Sakinah. Kedua-duanya tampil sebagai pelengkap penting yang menambah dimensi emosi dan keseimbangan naratif dalam TARUNG: Unforgiven.

Barisan Penerbit, Pengarah serta Pelakon filem TARUNG: Unforgiven sewaktu acara Rumah Terbuka filem itu yang berlansung baru-baru ini.
Bagi melengkapkan ‘roh’ filem ini, produksi mempertaruhkan dua buah runut bunyi (OST) eksklusif. Kumpulan trio muda, Distorted (SINO, BALO, dan ENEYEQAY) menyuntik adrenalin menerusi lagu rancak bertajuk ‘Test’.
Lebih menyentuh emosi, penyanyi dan komposer tersohor, Noh Salleh, meminjamkan suaranya untuk babak kemuncak filem ini menerusi lagu ‘Terbang’. Karya yang mengangkat tema persaudaraan, melepaskan kenangan, dan kemaafan ini dijangka akan dilancarkan sepenuhnya pada pertengahan bulan ini.
Bagi peminat filem aksi tegar, pastikan anda tandakan kalendar pada 7 Mei 2026 ini. Ikuti perkembangan terkini, klip eksklusif, dan aktiviti di belakang tabir filem ini di semua platform digital Alpha47, Icon Pictures, dan Astro Shaw dengan menggunakan tanda pagar rasmi #TarungUnforgiven.
