Ikuti Kami:

Kuala Lumpur Jadi Destinasi Pertama Jelajah Asia Tenggara Westlife 25: The Anniversary World Tour

Kuala Lumpur Jadi Destinasi Pertama Jelajah Asia Tenggara Westlife 25: The Anniversary World Tour

KUALA LUMPUR – Berita gembira buat seluruh peminat muzik pop antarabangsa tempatan! Kumpulan vokal lagenda dari Ireland, Westlife, secara rasminya memilih Kuala Lumpur sebagai hentian pertama bagi rangkaian siri jelajah Asia Tenggara mereka menerusi konsert berskala besar, Westlife 25: The Anniversary World Tour.

Konsert yang dibawakan khas oleh penganjur terkenal Live Nation Malaysia itu dijadualkan berlangsung pada 14 Januari 2027 bertempat di Unifi Arena, Kuala Lumpur. Pemilihan ibu kota sebagai lokasi pembuka tirai bagi zon Asia Tenggara bakal menyaksikan tirai tahun baharu 2027 dibuka dengan sebuah persembahan berprestij dan penuh nostalgia. Selepas Kuala Lumpur, siri jelajah sepanjang Januari 2027 ini akan diteruskan ke beberapa negara jiran termasuk Singapura, Filipina, Indonesia, Thailand, dan Hong Kong.

Konsert jubli perak ini bakal menjadi medan buat empat ahli kumpulan itu—Shane, Nicky, Kian, dan Mark—untuk menyampaikan rangkaian lagu hit terbaik sepanjang suku abad penglibatan mereka dalam industri muzik global. Penonton bakal dihidangkan dengan seleksi lagu balada malar segar hinggalah ke lagu-lagu rancak yang pernah mengungguli carta muzik dunia.

Kuala Lumpur Jadi Destinasi Pertama Jelajah Asia Tenggara Westlife 25: The Anniversary World Tour

Istimewanya, siri jelajah ini juga merupakan sebahagian daripada promosi pelancaran album terbaharu mereka yang amat dinantikan, 25 – The Ultimate Collection. Album kompilasi ini bakal memuatkan 21 buah lagu kegemaran peminat termasuk naskhah ikonik seperti You Raise Me Up, Uptown Girl, dan Flying Without Wings, selain beberapa material segar yang dirakam khas oleh mereka.

Antara single terbaharu yang dimuatkan termasuklah Your Love Amazes Me yang diluncurkan pada 8 Mei lalu, sebuah lagu balada emosional yang diterbitkan oleh Jamie Scott, Daniel Bryer, dan Martin Hannah. Tidak ketinggalan, peminat juga bakal disajikan dengan lagu Chariot, sebuah runut bersemangat bertemakan kasih sayang dan keluarga yang mendapat sentuhan magis penulis lagu terkenal global, Ed Sheeran, Johnny McDaid, Will Reynolds, serta Steve Mac.

“Tahun ini menandakan 25 tahun sejak kami memulakan perjalanan luar biasa ini bersama-sama, dan ia masih terasa seperti sebuah permulaan. Sokongan daripada para peminat sangat sukar untuk dipercayai. Dapat meraikannya menerusi jelajah dunia, muzik baharu, dan sebuah album baharu terasa sangat istimewa buat kami. Kami tidak sabar untuk menemui anda semua di konsert nanti,” ujar Westlife penuh teruja.

Bagi memastikan peminat tidak terlepas peluang menyaksikan persembahan bertenaga daripada Westlife sempena Westlife 25: The Anniversary World Tour di Kuala Lumpur, para peminat disarankan untuk mengambil perhatian terhadap tarikh-tarikh penting jualan tiket yang telah diumumkan.

Kuala Lumpur Jadi Destinasi Pertama Jelajah Asia Tenggara Westlife 25: The Anniversary World Tour

Pra-jualan eksklusif untuk pemegang kad Mastercard akan dibuka pada Isnin, 20 Julai 2026, bermula jam 11:00 pagi hingga 11:59 malam. Tiket boleh didapati menerusi laman sesawang priceless.com/music. Selain itu, pemegang kad World Mastercard dan World Elite Mastercard turut menikmati akses kepada tiket pilihan khas menerusi kategori Mastercard Preferred yang akan mula ditawarkan pada Rabu, 22 Julai 2026.

Bagi ahli Live Nation pula, sesi pra-jualan akan berlangsung pada Selasa, 21 Julai 2026, dari jam 11:00 pagi hingga 11:59 malam. Peminat yang ingin menikmati akses awal ini boleh mendaftar sebagai ahli secara percuma menerusi laman web livenation.my sebelum tarikh pra-jualan bermula.

Sementara itu, jualan umum (General Onsale) akan dibuka kepada orang ramai pada Rabu, 22 Julai 2026, bermula jam 11:00 pagi. Tiket boleh dibeli secara dalam talian melalui golive-asia.com atau dengan menghubungi talian hotline rasmi penganjur di +603 2708 5277.

Dengan reputasi Westlife sebagai kumpulan pop paling laris dari United Kingdom dan Ireland pada abad ke-21, peminat dijangka memberikan sambutan luar biasa terhadap konsert yang bakal berlangsung di Unifi Arena pada 14 Januari 2027 ini.

Sepanjang 25 tahun bergelar anak seni, Westlife telah membuktikan dominasi mereka dengan rekod penstriman melebihi 3 bilion kali di seluruh dunia, mencatat 36 album No. 1, serta menjual lebih 55 million unit rekod global. Jadi, buat para peminat tegar di Malaysia, pastikan anda sudah bersedia untuk merebut tiket konsert bersejarah ini sebelum ia habis terjual!

Loading...