Ikuti Kami:

Accor, Tropicana Meterai Perjanjian Bawa Mercure Living Ke Genting Highlands

Accor, Tropicana Meterai Perjanjian Bawa Mercure Living Ke Genting Highlands

PETALING JAYA – Gergasi hospitaliti global, Accor, dan salah satu pemaju hartanah terkemuka tanah air, Tropicana Corporation Berhad (Tropicana), hari ini secara rasmi memeterai perjanjian pengurusan hotel bagi memperkenalkan Mercure Living Genting Highlands.

Kerjasama strategik ini menggabungkan kepakaran hospitaliti bertaraf dunia dan konsep perbandaran lestari bagi menawarkan penginapan lanjutan (extended-stay) yang serba baharu di salah satu destinasi percutian tanah tinggi paling popular di Malaysia.

Bagi Tropicana, langkah ini sekali gus memperkukuh ekspansi kumpulan dalam sektor hospitaliti, sejajar dengan strategi syarikat untuk menjana aliran pendapatan berulang jangka panjang. Pada masa sama, ia menawarkan aset hospitaliti berjenama yang diuruskan secara profesional oleh rangkaian global Accor buat para pembeli hartanah.

Mercure Living Genting Highlands bakal disepadukan secara eksklusif dalam pembangunan TwinPines Serviced Suites di Tropicana Grandhill, sebuah presint berorientasikan kesihatan seluas 112 ekar yang terletak dalam perbandaran bersepadu Tropicana WindCity seluas 596 ekar di Genting Highlands. Kehadiran jenama hospitaliti antarabangsa ini dijangka memperkukuhkan lagi kedudukan Tropicana WindCity sebagai destinasi tanah tinggi pilihan yang menggabungkan elemen gaya hidup, kesejahteraan dan pengalaman percutian premium.

Dijadualkan mula beroperasi pada tahun 2028, Mercure Living Genting Highlands akan menawarkan sebanyak 1,443 unit suite berperabot lengkap yang direka untuk memenuhi keperluan pelbagai segmen pengunjung. Pembangunan ini bukan sahaja sesuai untuk pelancong tempatan dan antarabangsa, malah turut menyasarkan penginap jangka panjang serta pemilik kediaman yang mengutamakan keselesaan dan fleksibiliti dalam gaya hidup moden.

Setiap suite akan dilengkapi dengan ruang kediaman yang luas, termasuk kemudahan dapur dan ruang makan bagi memberikan keselesaan seperti berada di rumah sendiri. Konsep ini selari dengan penawaran Mercure Living yang menekankan pengalaman penginapan jangka panjang yang praktikal tanpa mengorbankan kemudahan bertaraf hotel.

Selain itu, pembangunan ini turut menawarkan pelbagai kemudahan premium untuk melengkapkan pengalaman penghuni dan tetamu. Antaranya termasuk restoran makan sepanjang hari (all-day dining), ruang legar eksekutif (executive lounge), dewan serbaguna untuk acara dan pertemuan, kolam renang yang dilengkapi sistem pemanas, serta pusat kecergasan moden bagi menyokong gaya hidup aktif dan sihat.

Gabungan kemudahan bertaraf antarabangsa, suasana tanah tinggi yang nyaman serta pengurusan di bawah jenama global Mercure dijangka menjadikan Mercure Living Genting Highlands sebagai salah satu tarikan hospitaliti dan kediaman berjenama yang paling dinanti-nantikan di Genting Highlands.

Accor, Tropicana Meterai Perjanjian Bawa Mercure Living Ke Genting Highlands

(Kiri ke kanan): Encik Loke Wei Feng, Pengarah Urusan Projek Tropicana; Puan Ixora Ang, Pengarah Urusan Pemasaran, Jualan dan Pembangunan Perniagaan Tropicana; Encik Dennis Ng, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tropicana; Encik Andrew Langdon, Ketua Pegawai Pembangunan Asia Accor; Encik Chris Cho, Naib Presiden Pembangunan bagi Jepun, Korea, Malaysia, Maldives, Filipina dan Singapura, Accor; serta Encik Lachlan De Morton, Naib Presiden Asia Pasifik, Accor One Living.

 

Mengulas mengenai kerjasama berimpak tinggi ini, Ketua Pegawai Operasi Bahagian Premium, Midscale & Ekonomi Accor Asia, Garth Simmons menyatakan keyakinan beliau terhadap potensi Genting Highlands sebagai destinasi pelancongan yang terus berkembang pesat.

“Mercure Living Genting Highlands merupakan peluang terbaik untuk kami memperluas penawaran penginapan jangka panjang di Malaysia melalui kolaborasi bersama salah satu pemaju terkemuka negara. Kami percaya pembangunan ini berada di posisi terbaik untuk memenuhi permintaan pelancong yang kini mahukan fleksibiliti, keselesaan, dan pengalaman lokal yang autentik,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengarah Urusan Pemasaran, Jualan & Pembangunan Perniagaan Tropicana, Ixora Ang, menegaskan komitmen berterusan Tropicana dalam membina komuniti masa hadapan yang lestari.

“Disepadukan di dalam TwinPines Serviced Suites—iaitu pembangunan pertama kami di Genting Highlands yang menerima pensijilan hijau—tawaran ini mencerminkan komitmen kami untuk mentakrifkan semula kehidupan pintar, selesa, dan mampan. Melalui sinergi kepakaran Tropicana dan platform global Accor, kami membina kediaman berjenama unik yang meningkatkan nilai gaya hidup serta menyumbang kepada pertumbuhan sektor pelancongan tanah tinggi negara,” kata Ixora.

Melalui kerjasama ini, pemilik hartanah TwinPines Serviced Suites bakal mendapat manfaat besar daripada kekuatan jenama antarabangsa Mercure. Pelabur bukan sahaja mendapat akses kepada rangkaian pengedaran global Accor, malah bakal menikmati kelebihan daripada ALL – Accor Live Limitless, iaitu salah satu program kesetiaan hospitaliti paling popular di dunia.

Langkah ini juga menandakan satu lagi pencapaian penting bagi Accor di Malaysia. Setakat ini, Accor merupakan antara pengendali hospitaliti antarabangsa terbesar di negara ini dengan mengendalikan 28 buah hotel (melebihi 7,300 bilik), serta mempunyai 10 lagi projek dalam perancangan masa hadapan yang merangkumi lebih 2,600 bilik. Pemeteraian Mercure Living Genting Highlands ini secara langsung menambah 1,443 bilik lagi ke dalam portfolio kukuh mereka.

Loading...