Krisis Asia Barat: Bekalan Elektrik Negara Kekal Terjamin dan Stabil
- oleh Editor MYBUZZ
- 15 Mar 2026 2:43 pm
PUTRAJAYA – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memberi jaminan bahawa sistem bekalan elektrik negara pada masa ini kekal stabil dan tidak terjejas di sebalik pergolakan krisis geopolitik di Asia Barat. Meskipun penutupan laluan Teluk Hormuz oleh Iran sejak 2 Mac lalu telah mencetuskan impak kepada pasaran tenaga global, ketersediaan tenaga elektrik di Malaysia tetap terjamin berikutan kebergantungan yang tinggi kepada sumber domestik.
Sistem penjanaan di Semenanjung kini menggunakan sekitar 40% hingga 45% gas asli, di mana sebahagian besar bekalannya diperoleh secara tempatan dari Kerteh dan kawasan pembangunan bersama Thailand-Malaysia (JDA) yang masih stabil dan mencukupi.
Berkenaan isu tarif, kerajaan mengesahkan bahawa kebajikan pengguna terus dilindungi melalui kerangka Incentive Based Regulation (IBR) bagi tempoh 2025 hingga 2027. Melalui mekanisme Automatic Fuel Adjustment (AFA), sebarang perubahan kos bahan api dunia akan diselaraskan setiap bulan untuk memastikan ketelusan harga. Berita baik buat rakyat, kira-kira 85% pengguna domestik atau mereka yang menggunakan elektrik bawah 600 kWj sebulan dikecualikan sepenuhnya daripada pelarasan kos ini, sekaligus melindungi perbelanjaan isi rumah daripada turun naik harga pasaran antarabangsa.
Berdasarkan unjuran semasa, kadar AFA dijangka kekal dalam status rebat sehingga April 2026. Namun, PETRA tidak menolak kemungkinan kadar tersebut akan berubah sekiranya ketegangan di Asia Barat berlarutan sehingga memberi tekanan melampau kepada kos bahan api global. Sejak Julai 2025, kerajaan telah pun menyalurkan subsidi berjumlah RM2,506 juta dalam bentuk rebat bil elektrik sebagai insentif cekap tenaga kepada rakyat. Sebagai langkah persediaan, kerajaan kini sedang meneliti pelbagai langkah mitigasi tambahan bagi menghadapi sebarang senario konflik yang berpanjangan.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri PETRA, YAB Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof, menyeru agar seluruh rakyat Malaysia terus mengamalkan penggunaan elektrik secara bijak dan berhemah. Amalan jimat elektrik bukan sahaja mampu meringankan beban bil bulanan individu, malah ia merupakan sumbangan kolektif yang besar dalam memastikan kelestarian serta ketahanan sistem tenaga negara untuk jangka masa panjang. PETRA komited untuk terus bertindak proaktif bagi mengimbangi keterjaminan tenaga nasional dengan keupayaan ekonomi rakyat agar tarif elektrik kekal munasabah.
