Ikuti Kami:

Kejutan AJL40 SA: K.O.I Benam Lagu Tular, Mara Ke Final Bersama ‘Tiwikarma’!

Kejutan AJL40 SA: K.O.I Benam Lagu Tular, Mara Ke Final Bersama ‘Tiwikarma’!

SHAH ALAM – Kehadiran kumpulan misteri, K.O.I dalam industri seni suara tempatan bukan sekadar ‘tangkap muat’ apabila mereka melakar kejutan besar mara ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL 40). Menerusi karya berjudul ‘Tiwikarma’, kumpulan ini ternyata kebal apabila berjaya menewaskan saingan lagu-lagu tular lain untuk tersenarai dalam kelompok 10 karya terbaik.

Pertaruhan berani K.O.I membawakan lagu hasil ciptaan bersama Zai Hamzah dan Hemo Globin itu ternyata membuahkan hasil yang lumayan buat mereka. Naskhah tersebut cemerlang memikat hati barisan juri profesional yang diketuai oleh pemuzik berkaliber, Dato Acis.

Kejutan AJL40 SA: K.O.I Benam Lagu Tular, Mara Ke Final Bersama 'Tiwikarma'!

Lebih membanggakan, kualiti gubahan muzik serta impak persembahan yang memiliki identiti tersendiri itu disifatkan mampu membuka mata komuniti muzik tempatan secara keseluruhannya.

Terdahulu, pusingan Separuh Akhir AJL 40 (AJL40 SA) yang mengangkat tema ‘Generasi Selamanya Juara’ telah berlangsung dengan sengit selama dua malam. Sepanjang pusingan itu, K.O.I berdepan cabaran hebat apabila terpaksa berentap dengan 20 buah lagu lain yang membawa pelbagai genre serta naratif yang unik.

Sungguhpun begitu, kredibiliti vokal dan ketelitian susunan muzik yang dipamerkan nyata memastikan kedudukan mereka selamat dalam senarai elit finalis. Pada malam kemuncak AJL 40 kelak, K.O.I bakal berdepan cabaran lebih berliku apabila perlu bersaing dengan penyanyi nama besar dan lagu-lagu popular yang turut lolos ke final.

Kejutan AJL40 SA: K.O.I Benam Lagu Tular, Mara Ke Final Bersama 'Tiwikarma'!

 

Antara senarai penuh finalis yang akan berentap adalah:

  • Aina Abdul menerusi lagu Kamu
  • Dayang Nurfaizah dengan lagu Lemah
  • Aisha Retno membawa naskhah Tak Adil
  • Amir Masdi menerusi Nurcinta
  • Marsha Milan dengan lagu Tangisan Seorang Pendosa
  • Hazama membawakan Semacam Pandora
  • Wani Kayrie menerusi Cak Cak Cekuk
  • Luca Sickta, Kmy Kmo & Salammusik mempertaruhkan Ke Mana Ni
  • Ryenald Guntabid menerusi naskhah Lumangad Oku Dika

Malam saingan separuh akhir tersebut turut dihangatkan oleh gandingan ceria pengacara Fiza Frizzy dan Sissy Imann. Acara itu juga diserikan dengan persembahan memukau artis undangan seperti Zaki Yamani, Ahmad Merrah, Tuju, dan Kaka Azraff.

Kini, dengan senarai finalis yang sudah pun lengkap, tumpuan peminat dan pemerhati industri pastinya terarah kepada K.O.I untuk melihat sejauh mana ‘Tiwikarma’ mampu menggugat kehebatan pesaing lain di pentas berprestij AJL 40 kelak.

Loading...