Ikuti Kami:

Kamal Adli Ketuai Misi Travel Paling Berbaloi, Hotlink GBB Tayang Julai Ini

Kamal Adli Ketuai Misi Travel Paling Berbaloi, Hotlink GBB Tayang Julai Ini

KUALA LUMPUR: Siapa kata bercuti di lokasi menarik dan unik dalam negara memerlukan perbelanjaan yang besar? Segala stereotaip itu bakal dipecahkan apabila siri travelog santai dan interaktif, Hotlink: Geng Bijak Berbajet (GBB), kini kembali menemui penonton dengan nafas serba baharu!

Menerusi kolaborasi mantap antara TV3 dan Hotlink, program realiti travelog ini telah dilancarkan secara rasmi di Balai Berita, Bangsar, baru-baru ini. Menampilkan pengembaraan yang penuh dengan kejutan, siri ini bersedia berkongsi pelbagai tip pintar dan berguna untuk meneroka destinasi menarik di Malaysia dengan bajet terhad, namun tetap berbaloi.

Misi percutian unik mesra poket kali ini dikepalai oleh pelakon popular, Kamal Adli, yang bertindak sebagai Ketua Geng Bijak Berbajet. Beliau tidak berseorangan, sebaliknya ditemani barisan selebriti terkenal tanah air seperti Hael Husaini, Nabila Razali, Siti Saleha, Zaki Yamani, Auddra Zulkifli, Izzue Islam, dan Ain Edruce.

Kamal Adli Ketuai Misi Travel Paling Berbaloi, Hotlink GBB Tayang Julai Ini

Bersama-sama, barisan artis popular ini bakal membuktikan bahawa percutian yang menyeronokkan dan penuh memori di dalam negara tidak memerlukan belanja yang mewah, asalkan bijak membuat pilihan bijak.

Sebanyak enam episod bakal ditayangkan dengan durasi antara tiga hingga lima minit bagi setiap episod. Program ini membawakan konsep realiti, reviu makanan, reviu aktiviti lasak, serta perkiraan bajet yang sangat dekat di hati penonton.

Tarikan utama program ini pastinya terletak pada tahap kreativiti para selebriti yang diuji apabila mereka dicabar dengan bajet harian yang sangat terhad, iaitu sekitar RM70 hingga RM100 sahaja untuk dibelanjakan bagi dua hingga tiga individu.

 

Sepanjang perjalanan merentas enam buah negeri termasuk Pulau Pinang, Kelantan, Selangor, Sarawak, Negeri Sembilan, dan Perak, mereka bakal meneroka keunikan budaya setempat, melakukan aktiviti lasak seperti menunggang ATV di Negeri Sembilan, hinggalah memburu makanan ikonik seperti ‘Colek Campur’ di Kelantan serta menikmati bufet di atas awan di Sarawak.

Di akhir setiap episod, “Senarai Semak GBB” akan digunakan untuk menilai sejauh mana kejayaan pengembaraan bajet mereka. Sebagai talian hayat digital utama sepanjang misi ini, rangkaian 5G serta pelan prabayar dan pascabayar mampu milik daripada Hotlink memastikan ketersambungan internet berkelajuan tinggi tanpa had mereka sentiasa lancar demi mencari maklumat perjalanan terbaik.

Kamal Adli Ketuai Misi Travel Paling Berbaloi, Hotlink GBB Tayang Julai Ini

Ketua Pegawai Operasi Media Prima OMNIA (Agency Solutions), Stephanie Wong, menyifatkan kerjasama erat bersama Hotlink ini sebagai platform terbaik untuk menyajikan kandungan digital yang segar, interaktif, dan mendidik masyarakat mengenai pengurusan kewangan secara bersahaja.

“Kami bangga dapat bersama-sama Hotlink memupuk budaya berhemat dengan lebih aktif melalui kandungan yang menyeronokkan, bermanfaat, dan mudah dikongsi merentas platform televisyen dan digital,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran dan Pertumbuhan Maxis, Yeoh Sun Loo, berkongsi bahawa siri travelog ini dibawakan khas untuk memberikan lebih banyak tip penjimatan berbaloi buat pengguna, selaras dengan trend gaya hidup masa kini yang mahukan pengalaman luar biasa tanpa perlu berbelanja besar.

Siri travelog Hotlink: Geng Bijak Berbajet akan ditayangkan secara eksklusif di TV3 bermula 29 Julai 2026, pada setiap hari Rabu jam 8.57 malam (sejurus selepas slot Buletin Utama). Bagi penonton digital, program ini turut boleh ditonton setiap hari Khamis bermula 30 Julai 2026 menerusi platform media sosial rasmi TikTok @hotlink.official dan @tv3malaysia, serta akaun Instagram @hotlinkred dan @tv3malaysia. Sertai perbualan hangat ini di media sosial dengan menggunakan hashtag rasmi #HotlinkGengBijakBerbajet!

Loading...