Foto dari kiri Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif KAB Gold, Mohamed Khairul Anuar Mohd Basri & Pendakwah Selebriti, Ustaz Zul Ramli M. Razali hadir ke Majlis perasmian acara Grand Opening Kedai Emas KAB Gold di Setapak, Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR – KAB Goldynamics Sdn Bhd (KAB Gold) terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri emas tempatan menerusi pembukaan cawangan baharu di KL Traders Square, Setapak, Kuala Lumpur semalam.
Majlis perasmian acara Grand Opening Kedai Emas KAB Gold yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 4 petang itu telah disempurnakan oleh Pendakwah Selebriti, Ustaz Zul Ramli M. Razali.

Selain menawarkan pelbagai tawaran istimewa buat pelanggan, pembukaan cawangan ini turut menjadi platform signifikan buat KAB Gold dalam melaksanakan tanggungjawab sosial dengan menyalurkan sumbangan zakat kepada 60 orang penerima asnaf. Agihan zakat tersebut disalurkan di bawah bimbingan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) serta Akar Budi Centre.
Agihan zakat berkenaan merupakan sebahagian daripada zakat yang telah ditunaikan oleh KAB Gold kepada Pusat Pungutan Zakat (PPZ) pada tahun sebelumnya. Melalui mekanisme pengembalian sebahagian dana zakat, pihak syarikat berpeluang mengagihkannya secara terus kepada golongan asnaf yang layak di kawasan komuniti setempat.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif KAB Gold, Mohamed Khairul Anuar Mohd Basri, menyifatkan pembukaan cawangan di Kuala Lumpur ini sebagai satu langkah strategik untuk mendekatkan jenama KAB Gold kepada para pelanggan di sekitar Lembah Klang.
“Kami amat bersyukur kerana dapat membuka cawangan baharu KAB Gold di Kuala Lumpur dan pada masa yang sama meraikan pembukaan ini bersama pelanggan serta komuniti. Bagi kami, kejayaan sebuah perniagaan bukan hanya diukur melalui pertumbuhan dan jualan, tetapi juga melalui sejauh mana kita mampu berkongsi rezeki dan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Tambah beliau lagi, sumbangan kepada 60 penerima asnaf tersebut menjadikan majlis pembukaan cawangan ini lebih bermakna dan bukan sekadar sebuah acara komersial semata-mata.
Di samping itu, KAB Gold menegaskan komitmen mereka terhadap kepatuhan Syariah yang menjadi asas utama keseluruhan operasi dan urus niaga syarikat. Sebagai sebuah syarikat yang 100 peratus milik Muslim, kepatuhan Syariah dan ketelusan dijadikan panduan tertinggi bagi membina keyakinan dan kepercayaan para pelanggan.
Majlis perasmian tersebut turut diwarnai dengan pelbagai aktiviti menarik seperti promosi diskaun emas, pameran koleksi barangan kemas terkini, permainan, cabutan bertuah, serta jualan Kenduri Kambing Pak Mat Western bagi meraikan para pengunjung dan tetamu yang hadir.

