ITC perluas rangkaian pelancongan mesra Muslim bersama MATTA menerusi penganjuran MFTF 2026. – (Kiri-kanan) Naib Presiden Penyelidikan & Teknologi di Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Dato’ Haji Mohd Hizzat bin Mohd Shah, Timbalan Pengerusi Penganjur MFTF 2026, Dr. Fazil Khan, Ketua Pengarah ITC, Encik Mohammad Faisal Abu Suaib Khan dan Ketua Kewangan Pengguna RHB Bank Berhad, Sien Vee Loc
KUALA LUMPUR – Langkah Malaysia untuk terus mendominasi sektor pelancongan mesra Muslim global kini semakin utuh menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) rasmi antara Pusat Pelancongan Islam (ITC) dan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA).
Perjanjian bersejarah yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur hari ini, turut disaksikan secara langsung oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), YB Dato Sri Tiong King Sing.
Dokumen MoU tersebut telah ditandatangani oleh Ketua Pengarah ITC, Encik Mohammad Faisal Abu Suaib Khan dan Presiden MATTA, Encik Nigel Wong. Pemeteraian ini merupakan antara kemuncak acara bersempena dengan penganjuran MATTA Muslim-Friendly Travel Fair (MFTF) 2026 yang berlangsung selama dua hari, di mana ITC turut memainkan peranan besar sebagai rakan strategik.
Objektif utamanya adalah satu, iaitu memperluas dan mengukuhkan ekosistem Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFTH) di negara ini melalui inisiatif latihan profesional, penglibatan industri secara holistik, serta kempen promosi yang agresif.
Dengan kekuatan MATTA sebagai persatuan pelancongan terbesar negara yang memiliki lebih 2,900 ahli, ITC berazam untuk melengkapkan para pemain industri dengan sumber dan pengetahuan yang tepat bagi memastikan kemudahan mesra Muslim sentiasa mudah diakses oleh para pelancong sebaik sahaja mereka menjejakkan kaki ke negara ini.
Menurut Mohammad Faisal, salah satu tumpuan utama kerjasama ini adalah untuk mengintegrasikan ahli-ahli MATTA ke dalam program Jaminan dan Pengiktirafan Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFAR).
“Melalui usaha bersama ini, kami merancang untuk melatih seramai 1,000 profesional industri dalam tempoh beberapa tahun akan datang, dengan sesi pertama dijadualkan berlangsung pada 27 dan 28 Julai ini melibatkan anggaran 50 ahli MATTA,” jelas beliau.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), YB Dato Sri Tiong King Sing menyempurnakan majlis pembukaan pameran MATTA Muslim-Friendly Travel Fair (MFTF) 2026 di WTC, Kuala Lumpur
Menyentuh mengenai potensi gergasi pasaran ini, beliau menjelaskan bahawa pasaran Muslim global kini mewakili demografi besar seramai 2.2 bilion orang. Di peringkat domestik pula, segmen pelancong ini dianggarkan bakal menyumbang angka ketibaan seramai 15 juta orang menjelang tahun 2030.
Bagi menampung permintaan tersebut, beliau menegaskan bahawa matlamat jangka panjang ITC adalah untuk membangunkan sebuah pusat rujukan tunggal berserta pangkalan data komprehensif buat populasi Muslim global.
Pangkalan data ini akan memuatkan senarai lengkap hotel, agensi pelancongan, pemandu pelancong, pusat spa dan kesejahteraan, serta perkhidmatan berkaitan yang diperakui mesra Muslim bagi melancarkan perancangan percutian mereka.
Sementara itu, Naib Presiden MATTA (Pengangkutan Udara), Dr. Fazil Khan Abdul Kadir menyifatkan MoU ini sebagai langkah rasmi yang menyatukan hala tuju kedua-dua pihak. Menurutnya, usaha untuk mengembangkan pasaran pelancongan mesra Muslim memerlukan struktur pengurusan yang baik, akauntabiliti, serta rakan kongsi yang teguh.
Kerjasama terbaharu ini pastinya akan memacu standing Malaysia yang sentiasa berada di kedudukan hadapan di mata dunia. Bulan lalu sahaja, Malaysia terus kebal mengekalkan kedudukannya sebagai Destinasi Mesra Muslim Terbaik (OIC) dalam Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) 2026 untuk tahun ke-11 berturut-turut.
Lebih membanggakan, Malaysia turut merangkul dua lagi anugerah pengiktirafan antarabangsa iaitu ‘Destinasi Mesra Wanita Muslim Tahun Ini’ dan ‘Destinasi Mesra Muslim Boleh Akses Tahun Ini’ pada Anugerah Halal in Travel 2026 di Singapura.
Mengambil kelebihan daripada momentum kecemerlangan ini, ITC juga dilaporkan telah mula memperluaskan pensijilan program MFAR hingga ke pasaran Rusia dan Taiwan, selain turut menerima minat yang sangat positif daripada penggiat pelancongan di negara-negara seperti Filipina, Vietnam, Kemboja, dan Sri Lanka.
Orang ramai dan pemain industri dijemput untuk mengunjungi Pavilion Malaysia Mesra Muslim ITC (Bilik Pameran 5E01-5E06) di WTC KL pada 4 dan 5 Julai ini bagi menemui pasukan ITC serta 10 rakan hotel dan agensi pelancongan yang telah berjaya mendapat pengiktirafan sijil MFAR.
