JOHOR BAHRU – Selepas lebih tiga dekad mencipta fenomena dalam industri muzik tanah air, kumpulan legenda EXISTS bakal kembali ke negeri kelahiran mereka menerusi Konsert Exists Pulang Live In Johor Bahru pada 9 Januari 2027.
Bakal berlangsung di EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri, Johor, konsert berkenaan membawa nilai sentimental tersendiri apabila negeri yang menjadi titik permulaan perjalanan seni EXISTS kembali menjadi saksi perjuangan muzik mereka.
Anjuran bersama Nusantara Live Entertainment dan Infinity Love Creative Ventures, konsert bertemakan Pulang itu bukan sekadar meraikan kejayaan kumpulan berkenaan, malah menjadi manifestasi penghargaan terhadap asal-usul, persahabatan dan kesetiaan peminat.
Lebih istimewa, persembahan itu menghimpunkan ketujuh-tujuh anggota EXISTS iaitu Mamat dan Ezad selaku vokalis, Along dan Shah (gitar), Musa (bass), Ujang (dram) serta Ajai (papan kekunci).
Penyatuan barisan anggota berkenaan sekali gus menjadi tarikan utama buat peminat yang mengikuti perkembangan EXISTS sejak awal pembabitan mereka dalam industri muzik.

Johor Menyimpan Seribu Kenangan
Menurut Ajai, peluang kembali membuat persembahan berskala besar di Johor membangkitkan pelbagai kenangan, khususnya mengenai perjalanan awal mereka sebelum berjaya mencipta nama di persada seni.
“Johor adalah tempat kami bermula. Di sinilah perjalanan EXISTS dibentuk, di sinilah kami belajar mengenal muzik dan mengejar impian.
“Apabila diberi peluang untuk kembali dan mengadakan sebuah konsert besar di negeri sendiri, perasaannya memang berbeza. Ini bukan sekadar tentang membuat persembahan, tetapi tentang pulang dan menghargai tempat yang membentuk siapa kami hari ini,” katanya.
Bagi Musa pula, konsert berkenaan menjadi kesempatan terbaik untuk menyatukan peminat daripada pelbagai generasi, terutama mereka yang membesar dengan lagu-lagu EXISTS.
“Kami tahu ramai yang membesar dengan lagu-lagu EXISTS. Ada yang menyimpan kenangan zaman sekolah, zaman percintaan, malah ada yang kini sudah membawa anak-anak mereka mendengar lagu yang sama.
“Kami mahu malam ini menjadi satu pertemuan antara generasi. Kami mahu peminat datang bukan sekadar untuk menonton konsert, tetapi untuk merasai kembali kenangan yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka,” katanya.
Karya Malar Segar Rentasi Generasi
Kekuatan EXISTS dalam mempertahankan kedudukan mereka sepanjang lebih tiga dekad banyak didorong oleh karya yang dekat dengan emosi dan pengalaman hidup masyarakat.
Deretan lagu popular seperti Untukmu Ibu, Julia, Jesnita, Bunga, Janji Padamu dan Alasanmu terus mendapat tempat di hati pendengar meskipun landskap industri muzik mengalami pelbagai perubahan.
Malah, karya yang pernah menjadi siulan generasi 1990-an itu kini turut dinikmati generasi baharu, membuktikan kekuatan melodi dan lirik EXISTS mampu melangkaui peredaran zaman.
Konsert berkenaan juga menjadi ruang untuk kumpulan itu meraikan perjalanan seni mereka, daripada sebuah kumpulan yang bermula di Johor sehingga menjadi antara nama berpengaruh dalam industri muzik Malaysia.
50 Peratus Tiket Sudah Terjual
Sementara itu, penganjuran konsert berkenaan menandakan kerjasama kali kedua antara Nusantara Live Entertainment dan Infinity Love Creative Ventures selepas kejayaan konsert Wali Live In JB pada 3 Oktober lalu.
Konsert terdahulu yang berlangsung di lokasi sama berjaya menghimpunkan kira-kira 14,000 penonton, sekali gus memperlihatkan potensi Johor sebagai destinasi penganjuran persembahan muzik berskala besar.
Wakil Nusantara Live Entertainment, Muhammad Hafiz Abd Hamid dan Nur Liyana Abd Rahman berkata, kejayaan berkenaan mendorong pihaknya meneruskan usaha membawa lebih banyak persembahan artis tempatan kepada peminat di selatan tanah air.
Pemilihan EXISTS pula disifatkan cukup signifikan memandangkan Johor mempunyai hubungan yang erat dengan sejarah penubuhan dan perkembangan kumpulan legenda berkenaan.
“Sambutan yang diterima setakat ini amat menggalakkan apabila sebanyak 50 peratus tiket konsert telah berjaya dijual, sekali gus memperlihatkan keterujaan peminat untuk menyaksikan kepulangan EXISTS ke pentas Johor Bahru,” kata mereka dalam kenyataan media pada 17 November lalu.
Tiket Bermula RM98
Peminat yang ingin menyaksikan Konsert Exists Pulang Live In Johor Bahru boleh mendapatkan tiket menerusi enam kategori yang menggunakan judul lagu popular kumpulan berkenaan.
Tiket ditawarkan pada harga RM98 bagi kategori Janji Padamu (CAT 4), Julia (CAT 3) RM138, Jesnita (GA) RM149, Bunga (CAT 2) RM168, Alasanmu (CAT 1) RM428 dan Untukmu Ibu (SUPERVIP) RM928.
Pembelian tiket boleh dilakukan menerusi laman web rasmi https://myticket.asia/.
Konsert berkenaan turut mendapat sokongan ERA FM dan SINAR FM sebagai radio rasmi, manakala Amal Johor bertindak sebagai penaja pengangkutan rasmi.
Bagi EXISTS, kepulangan ke Johor membawa makna yang jauh lebih besar daripada sebuah persembahan. Ia menjadi kesempatan untuk menghargai negeri yang membentuk perjalanan seni mereka serta peminat yang terus setia sepanjang lebih tiga dekad.
Selepas sekian lama mencipta kenangan buat jutaan pendengar, tiba masanya EXISTS kembali meraikan kenangan mereka sendiri di tempat segalanya bermula.




