Esther Yu Bakal Hadir Ke Kuala Lumpur Sempena Jelajah iQIYI Starship 2026
- oleh Editor MYBUZZ
- 8 Mar 2026 1:34 pm
KUALA LUMPUR – Berita gembira buat peminat drama bersiri dari Tanah Besar China! Platform penstriman terkemuka Asia, iQIYI International, secara rasminya mengumumkan bahawa jelajah iQIYI Starship 2026 bakal membuka tirai pertamanya di Malaysia pada 7 April 2026.
Lebih mengujakan, acara yang dijadualkan berlangsung di The Zepp Kuala Lumpur itu bakal menampilkan kemunculan sulung Duta Global iQIYI International, iaitu aktres popular Esther Yu (虞书欣), khusus buat peminatnya di negara ini.
Pemilihan Malaysia sebagai destinasi pertama untuk siri jelajah tahun 2026 ini membuktikan komitmen berterusan iQIYI dalam memperkukuh pengaruhnya di pasaran tempatan. Keputusan ini dibuat susulan sambutan luar biasa yang diterima sewaktu pengaktifan jelajah tersebut di seluruh Asia Tenggara pada tahun lalu.

Sepanjang acara tersebut, penonton berpeluang mendalami kisah di sebalik tabir serta cabaran watak yang digalas oleh Esther dalam drama terbaharunya, Speed and Love (双轨), sekaligus meraikan sokongan padu daripada peminat tempatan.
Naskhah asal iQIYI yang berlatarkan dunia perlumbaan kompetitif ini bukan sahaja mengangkat tema pertumbuhan dan penemuan diri, malah sarat dengan ketegangan emosi sehingga dinobatkan antara naskhah paling hangat dibincangkan di rantau ini sejak ia ditayangkan.

Selain Speed and Love, aktres yang dilantik sebagai Duta Global iQIYI International pada November lepas ini turut dikenali menerusi barisan karya memukaunya seperti Love Between Fairy and Devil (2022), My Journey to You (2023), dan Sword and Fairy (2024), yang mana kesemuanya boleh ditonton menerusi aplikasi iQIYI International.
Bagi anda yang tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini, iQIYI akan memberikan keutamaan penyertaan kepada pelanggan VIP Tahunan iQIYI International Malaysia. Segala maklumat lanjut mengenai penyertaan dan perkembangan terkini acara iQIYI Starship 2026 di Malaysia akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi saluran media sosial rasmi iQIYI Malaysia di Instagram, TikTok, dan Facebook.
