Ernie Zakri & Syamel Bawa ‘Vibe’ Raya Moden ke Hong Kong Menerusi Single Baharu “Suasana Raya”
- oleh Editor MYBUZZ
- 28 Feb 2026 1:29 pm
KUALA LUMPUR – Sempena ketibaan bulan Syawal yang mulia, pasangan sejoli industri muzik tanah air, Ernie Zakri dan Syamel, kembali bergabung suara menghadiahkan buah tangan terbaharu buat para peminat. Menerusi single raya berjudul “Suasana Raya”, naskhah ini bukan sekadar menjanjikan gabungan melodi klasik yang menyentuh jiwa, malah ia menjadi lebih istimewa dengan kolaborasi eksklusif bersama Hong Kong Tourism Board.
Apa yang menjadi tumpuan utama untuk naskhah kali ini adalah pemilihan lokasi penggambaran video muziknya. Membawa dimensi visual yang segar dan berbeza, video muzik “Suasana Raya” dirakamkan sepenuhnya di beberapa lokasi menarik dan destinasi mesra Muslim di sekitar bandar raya Hong Kong.

Menurut Ernie, pemilihan Hong Kong sangat bertepatan dengan konsep lagu memandangkan statusnya sebagai destinasi yang mesra Muslim.
“Hong Kong sangat sesuai kerana ia Muslim-friendly dan memudahkan kami mencari pelbagai pilihan makanan halal, antaranya di Islamic Centre Canteen,” jelasnya.
Pasangan ini turut mengambil peluang melawat pusat ibadah seperti Masjid Kowloon dan membawa anak mereka, Khawla, berhibur di tarikan pelancongan mesra keluarga seperti Ocean Park. Suasana bandar Hong Kong yang disifatkan sangat vibrant, dinamik, dan penuh warna-warni turut menjadi inspirasi utama yang menyatukan elemen raya tradisional dan moden di dalam visual muzik ini.
Bagi menghargai sokongan tidak berbelah bahagi daripada para peminat, Syamel dan Ernie telah menganjurkan sebuah sesi tontonan awal eksklusif di Aurum Theatre, Kuala Lumpur pada 17 Februari lalu.
Seramai hampir 100 orang peminat bertuah bukan sahaja berpeluang menonton video muzik tersebut sebelum pelancaran rasmi, malah mereka turut diajar koreografi tarian yang ditampilkan di dalam muzik video berkenaan.
Bercerita mengenai pengalaman merakamkan lagu hasil ciptaan Adam Armin dan Yusuff Khan ini, Ernie yang sinonim dengan genre balada emosi menyifatkan proses kali ini sangat santai dan menyeronokkan. Syamel pula menegaskan bahawa kekuatan lagu ini terletak pada melodinya yang catchy.
“Sepanjang proses rakaman, kami sentiasa menyanyi dalam keadaan tersenyum supaya emosi tersebut dapat disampaikan dengan lebih ikhlas,” ujar Syamel.
Pasangan ini menaruh harapan tinggi agar lagu “Suasana Raya” mampu menjadi runut bunyi wajib yang kekal menemani detik-detik indah Aidilfitri para peminat buat jangka masa yang panjang. Naskhah istimewa ini sudah pun tersedia untuk didengarkan di semua platform penstriman digital.




