Ikuti Kami:

Berkat Restu Arwah Ibu, Hafiz Suip Dedah Detik ‘Sweet’ Pertemuan Pertama Bersama Isteri

Berkat Restu Arwah Ibu, Hafiz Suip Dedah Detik ‘Sweet’ Pertemuan Pertama Bersama Isteri

KUALA LUMPUR – Penyanyi bersuara lantang, Hafiz Suip, yang baru sahaja menamatkan zaman dudanya, akhirnya membuka mulut berkongsi kisah cinta dan detik awal perkenalannya bersama isteri tercinta, Fiona Safiyya. Lebih meruntun jiwa, penyanyi ini menyifatkan penyatuan cinta mereka adalah berkat restu dan pesanan arwah ibunya yang menjadi sumber kekuatan utama.

Kisah manis ini dikongsikan oleh Hafiz Suip sewaktu beliau ditemui pada sidang media pelancaran lagu terbaharunya berjudul Yang Engkau Mahukan, yang berlangsung di Hotel St. Giles Boulevard, Kuala Lumpur pada hari Khamis lalu.

Siapa sangka, jodoh pertemuan mereka bermula secara kebetulan sewaktu Hafiz sedang mencari penyanyi wanita bagi menggantikan Adira untuk Konsert Hafiz Suip-Perjalananku yang dijadualkan berlangsung pada 13 Oktober 2024 di Kuching, Sarawak.

Menurut Hafiz, ketika itu beliau sedang bersantai di sebuah kedai makan dan terdengar kemerduan suara seorang wanita yang sedang menyanyikan lagu hits miliknya, Ku Akui. Wanita tersebut rupa-rupanya adalah Fiona Safiyya, dan selepas membuat carian di Google, Hafiz mendapati isterinya itu sememangnya seorang penyanyi yang telah aktif lebih awal sebelum kemunculannya sendiri di dalam industri.

“Kemudian, saya cakap nak bawa dia jadi penyanyi undangan konsert saya dan dari situ kami mula berkawan,” kongsi Hafiz

Hafiz berkongsi tentang keistimewaan yang dimiliki Fiona Safiyya, mengakui bahawa dia tertarik dengan sifat penyayang wanita itu serta kemampuannya memahami cara mengendalikan lelaki sepertinya. Namun, apa yang benar-benar membuka hatinya ialah penerimaan yang diberikan oleh keluarganya.

Antara perkara pertama yang dilakukan Hafiz pada peringkat awal perkenalan mereka adalah membawa Fiona berjumpa dengan arwah ibunya. Pertemuan itu menjadi detik yang bermakna apabila Fiona dan ibunya segera mewujudkan hubungan mesra serta mengenali antara satu sama lain dengan baik.

Berkat Restu Arwah Ibu, Hafiz Suip Dedah Detik 'Sweet' Pertemuan Pertama Bersama Isteri

Mengimbas kembali detik sebelum bergelar suami, Hafiz mendedahkan bahawa arwah ibunya pernah berpesan supaya dia bernikah dengan cara yang betul, terutama ketika dia sedang melalui proses perceraian pada waktu itu. Pesanan itu kini menjadi kenangan berharga yang terus membimbingnya dalam melangkah ke fasa baharu bersama isterinya.

“Sebab itu saya cakap dengan Fiona, kita kena tunaikan permintaan ibu,” luahnya lagi bagi merealisasikan hasrat ibunya.

Meskipun pada awalnya pasangan ini merancang untuk disatukan pada 15 Februari bersempena dengan tarikh lahir arwah ibunya, bapa Hafiz telah menasihatkan agar mereka tidak melewat-lewatkan majlis pernikahan tersebut.

Atas asbab itu, Hafiz dan Fiona memilih tarikh 13 Februari lalu untuk disatukan secara sah sebagai suami isteri menerusi sebuah majlis tertutup di sebuah dewan di Petrajaya, Kuching.

Sebagai rekod, Hafiz sebelum ini pernah berkahwin dengan Nureffy Jasreel pada 14 Mei 2016 dan dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Muhammad Riyahd Zafri, 9, serta Muhammad Alkaf Zayne yang kini berusia 5 tahun. Manakala, Fiona yang pernah mendirikan rumah tangga dengan seorang lelaki berketurunan Cina turut dikurniakan tiga orang cahaya mata sebelum berpisah kira-kira lima tahun yang lepas.

Loading...